Pengarah dan pelakon, Isma Yusoof, 39, yang menghidap bipolar disorder tidak bergantung dengan ubat-ubatan sebaliknya mengamalkan gaya hidup sihat. Isma atau nama sebenarnya Muhamad Ismaizal Yusoof mengalami masalah bipolar yang juga sejenis penyakit mental sejak 2009 yang boleh menyebabkan perubahan emosi terlampau dalam dirinya.
"Sekarang, saya tidak bergantung kepada rawatan serta ubat-ubatan kerana memilih gaya hidup sihat dengan dikelilingi orang-orang yang positif dan juga dilimpahi kasih sayang. "Bagi mengelak 'stress', salah satu pendekatan yang saya ambil dengan menjalani kehidupan di kawasan tidak sibuk dengan manusia dan kenderaan. Saya juga jauhkan diri dari kegiatan manusia yang bertanding untuk menjadi paling kaya. "Selain itu, saya juga melakukan pelbagai aktiviti sihat yang menjadi terapi diri seperti membuat kerja seni, menghasilkan pakaian sendiri, melukis dan menulis lirik serta berkebun," katanya kepada Harian Metro.
Tidak menafikan masih ramai kurang kesedaran terhadap penyakit mental, Isma berkata, kebanyakannya beranggapan individu yang sakit mental adalah gila dan akan membunuh orang. "Sebenarnya tidaklah seperti apa yang difikirkan itu. Ada banyak lagi di bawah spektrum penyakit mental ini. Malah, stesen TV pun jarang nak buat karya mengenai penyakit mental dan kalau ada pun mesti cerita 'thriller' bunuh orang. Sebahagian orang kita pula kurang nak membaca," katanya. Terdahulu, menerusi perkongsian videonya di Instagram TV baru-baru ini, Isma memaklumkan dia diserang bipolar gara-gara pelakon baru 'kayu' ketika melaksanakan tanggungjawab sebagai pengarah drama Shah Alam 40k. Di video itu, Isma menjelaskan dia perlu berehat dan selama beberapa hari tempatnya sebagai pengarah digantikan dua rakan iaitu Nizam Zakaria dan Bahari Umar. Dalam perkembangan lain, Isma yang pernah merangkul anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin 2010 juga enggan mengulas mengenai pendedahan berani dirinya seorang transgender. Portal Harian Metro hari ini melaporkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah memandang serius kenyataan kontroversi membabitkan Isma itu. Luqman berkata, kenyataan itu dilihat memberikan kesan mendalam terhadap umat Islam di negara ini dan segelintir masyarakat mula berasa keliru dan beranggapan perbuatan seperti itu adalah normal serta tidak menyalahi agama. Katanya, perbuatan itu sekali gus dibimbangi akan membuka kepada pintu-pintu keburukan yang lain. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT