Pelakon Azrel Ismail yang dipilih mengacarakan program Hotspot musim keempat bermula semalam tidak terfikir untuk menandingi pengacara terdahulu iaitu Fikry Ibrahim.
Azrel berkata, biarpun tiga musim sebelum ini dikendalikan Fikry, namun dia tidak mahu berasa tertekan atau meniru gaya persembahan yang pernah dibawakan pelakon itu.
"Saya perlu buktikan keputusan pihak produksi memilih saya untuk musim keempat ini adalah tepat. Saya anggap ini adalah rezeki dan peluang sebegini datang sekali saja jadi saya perlu buat yang terbaik. "Walaupun tiga musim sebelum ini dihoskan Fikry, tapi pihak produksi sudah menasihati saya supaya menjadi diri sendiri dan lakukan yang terbaik. Jadi tiada tekanan apapun. "Tiada istilah untuk menandingi dia, sebaliknya saya hanya mahu bawakan program ini dengan cara tersendiri kerana saya bakal hoskan program ini selama 26 episod," katanya. Menurut Azrel, dia mengakui gemuruh untuk mengacarakan program itu kerana tidak mempunyai pengalaman mengacarakan program secara langsung. "Saya agak gementar untuk mengacarakan program ini. Tambahan pula Hotspot sudah memasuki musim keempat dan sudah pasti pihak produksi mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada saya.
"Ketika latihan dijalankan semalam (kelmarin) saya akui masih berasa gemuruh, tapi selepas memahami semua segmen dan topik yang ingin dibincangkan, saya lebih yakin dan bersedia untuk membawakan program ini dengan pengacara bersama, Lana Nordin," katanya. Hotspot musim keempat ditayangkan secara langsung bermula jam 9 malam semalam di saluran TV Okey. Program yang bakal bersiaran selama 26 episod ini akan mengupas pelbagai topik berkenaan dunia seni dan hiburan tempatan. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|