Medan: Wanita yang dibakar hidup-hidup suaminya di Sumatera Utara sempat menyampaikan pesanan terakhir supaya ibunya tidak berdendam. Pesanan itu diberitahu oleh Rani Andriani, 20, kepada ibunya, Supriyati sebelum wanita itu menghembuskan nafas terakhirnya malam Jumaat lalu.
Rani sebelum itu dirawat di sebuah hospital selepas melecur 65 peratus akibat dibakar hidup-hidup oleh suaminya, Junanda, 21, pada 31 Januari lalu. Kejadian di Percut Sei Tuan, Deli Serdang itu dipercayai berlaku selepas lelaki itu mengesyaki isterinya curang. Supriyati berkata, sebelum meninggal dunia, Rani berkali-kali memohon maaf dan meminta supaya dia tidak berdendam.
"Mak jangan berdendam ya. Yang sudah tu biarlah sudah. Kakak tak mahu mak dendam dengan apa yang berlaku. "Kakak sudah memaafkan (suami). Mak pun sama ya," katanya mengulangi pesanan terakhir Rani kepada Tribune News. Katanya, dia tidak dapat menahan sedih setiap kali melihat penderitaan anaknya sepanjang menemani Rani mendapatkan rawatan di hospital. "Namun, saya kuatkan hati kerana tidak mahu mengganggu emosi dan semangat Rani. "Selama itu juga, saya mencari dana untuk membiayai rawatan Rani. "Saya berterima kasih kepada penderma yang sudi meringankan beban kami," katanya. Sebelum ini, rakaman yang tular di media sosial menunjukkan sebuah rumah di Desa Sambirejo Timur, didakwa dibakar oleh seorang lelaki Berdasarkan rakaman itu, suspek dipercayai turut membakar seorang wanita. Difahamkan, suspek kini sudah ditahan dan polis masih menjalankan siasatan. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT