Pasangan yang dahulunya pernah mengenali antara satu sama lain di sebuah sekolah, hanya bertemu jodoh selepas sedekad. Jika dulu hubungan mereka sekadar guru dan pelajar, kini mereka berdua disatukan sebagai suami isteri dan perkongsian detik romantis itu dikongsikan menerusi aplikasi TikTok.
Bekas guru, Nor Izza Erma Ibrahim memberitahu, dia dan suami melangsungkan perkahwinan pada Disember 2020 selepas bertemu semula setahun sebelumnya. Wanita berusia 36 tahun itu berkata, dia mula mengenali suaminya ketika bertugas di sebuah sekolah menengah di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 2010. "Ketika itu suami sekadar pelajar di salah sebuah kelas di tempat saya mengajar. Saya bukan guru kelas dia pun, tapi pernah menjadi guru ganti di kelasnya beberapa kali. "Masa tu dia baru berusia 15 tahun, masih muda remaja lagi. Saya tidak mengenalinya begitu rapat dan hanya menganggap dia sebagai salah seorang pelajar di sekolah," katanya kepada mStar.
Lebih mesra disapa Izza, katanya, dia kemudian bertugas ke sekolah lain di Pulau Pinang dan mendirikan rumah tangga, namun hanya bertahan sehingga 2018 sebelum membuat keputusan untuk berpisah. "Tahun berikutnya pada 2019 saya menerima DM (mesej secara langsung) daripada dia (kini suami) di Facebook, dan pada mulanya dia masih memanggil saya 'cikgu'. "Dia pelawa saya untuk menjadi model fotografi bagi satu majlis permotoran. Pada mulanya, saya terkejut juga sebab dia masih kenal saya dan hubungan kami bermula dari majlis tersebut," ujarnya yang berhenti kerja sebagai guru pada 2016. Sementara itu, bekas pelajar Izza yang kini adalah suaminya, Mohamad Ammar Mohamad Izham, 25, mendedahkan dia sebenarnya menaruh hati kepada guru ganti itu pada 2010. "Saya crush dengan cikgu (kini isteri) sebab tertarik dengan personaliti dan cara pembawakan diri dia. Tapi sekadar crush sahaja sebab hubungan kami sekadar pelajar dan guru, tidak lebih daripada itu. "Tapi saya tak tahu pun cikgu dah berpindah untuk bertugas ke sekolah lain, tiba-tiba hilang macam tu je. Tercari-cari juga tapi move on je lah," ujarnya yang berasal dari Bayan Baru. Ammar berkata, dia bagaimanapun tergerak hati untuk mencari guru ganti itu setelah bertahun-tahun sebelum menjumpai akaun Facebook guru tersebut dan menghubunginya. "Pelik juga sebab saya tengok tak ada pun gambar dengan suami di Facebook tapi saya tidak bertanya lanjut kerana menganggapnya sebagai perkara peribadi. "Selepas tiga bulan kami berhubung semula sejak majlis permotoran tu, barulah saya mendapat tahu yang dia telah berpisah," katanya yang kini mengusahakan sebuah perniagaan. Menyedari status ibu tunggal guru ganti itu, Ammar memasang strategi untuk mengenali lebih rapat sebelum menjalinkan hubungan yang lebih serius. "Saya berterus terang tentang perasaan saya. Cukuplah dulu dia 'hilang' sekali. Saya tak nak lagi dia hilang buat kali kedua dan saya terlepas peluang," ujarnya. Walaupun jarak usia 11 tahun, namun ia bukan penghalang bagi kedua-dua bekas guru dan bekas pelajar ini untuk mengecapi kebahagiaan bersama sebagai suami isteri. Izza yang berpengalaman dalam bidang perguruan selama tujuh tahun berkata, suaminya begitu penyayang dan mengambil berat serta menerimanya seadanya dirinya yang merupakan ibu tunggal kepada seorang anak lelaki kini berusia lapan tahun hasil perkahwinan terdahulu. "Pada mulanya saya takut dan serik, masihkah ada peluang kedua untuk berkahwin lagi terutama dengan usia dia jauh lebih muda. Tapi saya percaya restu keluarga dan keredaan Allah untuk saya mencari kebahagiaan diri sendiri untuk bersama dia," kata Izza. Sumber: mStar
|
tagas replied at 25-3-2021 03:13 PM
Bewak idop ke dok nih
hrp cikgu tak tanggung lepas kawen
Kurex: Hati2, mungkin utk suruh buat loan utk beli motor
ADVERTISEMENT