Anggota kumpulan K-Clique iaitu MK meluahkan perasaan kesal dengan perlakuan bekas pembantu peribadinya (PA) yang didakwa melarikan wang selepas menerima tawaran kerja tanpa pengetahuannya.
Susulan itu MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin Hamdan, 25, tampil memohon maaf di atas perlakuan individu tersebut. "Assalamualaikum, pertama sekali saya ingin meminta maaf dengan semua pihak yang terlibat. "Saya baharu dapat tahu isu tentang bekas PA saya yang ambil job di belakang saya. Isu ini daripada tahun lalu. "Sudah la sebar fitnah yang saya bawa lari duit anda. Untuk sahabat yang saya percaya Mohd Hazeeq @ Kojek, terima kasih banyak sebab mengkhianati aku," katanya dalam satu entri di media sosial miliknya, Dalam entri itu juga, MK turut meninggalkan satu nombor telefon bagi memudahkan mangsa yang terlibat berhubung bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul. Namun, selepas beberapa jam, MK dilihat memadam posting berkenaan dan menggantikan dengan sebuah lagi entri terbaharu beserta kapsyen bertulis, 'Assalamualaikum, Alhamdulillah'.
|
ADVERTISEMENT