Seorang ibu mendakwa pihak pengurusan sekolah menghukum anaknya dengan meletakkan pelajar itu di dalam bilik pengasingan hanya kerana rambutnya dipotong terlalu pendek. Lapor Metro, seperti individu lain, Niall tidak dapat pergi ke kedai gunting rambut atau salon susulan perintah berkurung akibat Covid-19 yang dilaksanakan di Britain sebelum ini. Sehubungan itu, ibunya, Hannah Clews, 33, terpaksa menggunting sendiri rambut anaknya pada 19 Mac lalu iaitu sehari sebelum sesi persekolahan bermula. Namun, pada hari pertama persekolahan, guru di Sekolah Tinggi St Michael’s Church of England menempatkan pelajar berusia 12 tahun itu di dalam bilik pengasingan kerana rambutnya terlalu pendek. Clews dari Rowley Regis di West Midlands mendakwa anaknya diletakkan dalam bilik berkenaan sepanjang hari termasuk waktu rehat dan tidak dibenarkan keluar langsung.
Polisi sekolah memaklumkan rambut pelajar dikehendaki mempunyai warna tunggal, semula jadi dan tidak terlalu pendek berbanding gred dua serta tidak dibenarkan membuat gaya rambut ‘melampau’. “Saya bukan tukang gunting, saya hanya memotong rambut di bahagian tepi agar kelihatan rapi apabila ke sekolah kerana anak saya tidak berasa selesa dengan rambutnya yang semakin panjang. “Saya sedar ia melanggar polisi namun sekali lagi ingin tegaskan bahawa saya bukan tukang gunting dan tidak berniat untuk memotong terlalu pendek,” katanya. Sementara itu, pengurusan sekolah memaklumkan Niall harus berada dalam bilik pengasingan tanpa dibenarkan untuk bertemu dengan rakan ketika waktu rehat sehingga rambutnya panjang semula. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT