Seorang wanita hilang selepas disambar buaya ketika mandi di jeti hadapan Rumah Panjang Mathis Depa di Sungai Peking, Tinjar di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian 11.30 pagi itu, beberapa saksi mendakwa ternampak mangsa yang dikenali sebagai Runyan Tempan, 38, disambar reptilia berkenaan sebelum diheret ke tengah sungai. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng, Terry Robson Nyanggau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.30 tengah hari. Katanya, sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian yang mengambil masa tiga jam perjalanan dari Bandaraya Miri itu. "Maklumat awal yang kita terima mangsa disambar ketika mandi di jeti di hadapan rumah panjang yang didiaminya.
"Penduduk turut melakukan gerakan awal mencari mangsa menggunakan perahu panjang ke hulu sungai," katanya. Menurut Terry, usaha pencarian mangsa pada hari pertama akan dijalankan sebaik sahaja sampai di rumah panjang berkenaan. "Pasukan bomba akan melakukan pemeriksaan terlebih dahulu sebelum memulakan usaha pencarian berdasarkan maklumat daripada saksi dan penduduk setempat," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT