Pihak berkuasa kawal selia pasaran China menyiasat iklan pengambilan pekerja oleh sebuah syarikat pengeluar minuman yang menjanjikan rekrut baharu mendapat kereta, rumah, gaji lumayan, malah digilai oleh wanita cantik atau lelaki kacak jika menyertai program latihan pengurusannya, lapor akhbar South China Mor-ning Post kelmarin.
Coconut Palm Group yang beribu pejabat di Pulau Hainan dikritik hebat selepas iklan tersebut muncul minggu lalu. Syarikat itu mempunyai sejarah membuat dakwaan kontroversi termasuk minuman air kelapa keluarannya dapat menambah saiz payudara wanita. Menerusi iklan tawaran menyertai program ‘inkubasi mendidik calon untuk menjawat jawatan pengurus besar dan timbalan pengurus besar’ tersebut, Coconut Palm Group akan merekrut seramai 20 pelatih. Seorang jurucakapnya berkata, iklan itu bertujuan mencari tenaga kerja baharu yang penuh kesungguhan dalam bekerja.
“Apa yang ditulis dalam iklan ini benar belaka. Ia bukannya propaganda atau promosi yang disengajakan. “Kami tidak perlu menarik perhatian orang ramai. Ini adalah cara propaganda yang dipraktikkan oleh syarikat,” kata jurucakap berkenaan seperti dilaporkan portal berita Red Star News. Calon yang berminat perlu mempunyai sekurang-kurangnya ijazah universiti dan berumur bawah 28 tahun. Mereka juga mesti bekerja dengan syarikat itu untuk tempoh sekurang-kurangnya 14 tahun bagi membuktikan kebolehan masing-masing sebelum dipertimbangkan untuk mengisi jawatan pengurus besar. Turut dinyatakan dalam iklan tersebut adalah butiran pendapatan tahunan untuk pekerja baharu iaitu sekitar 168,000 yuan (RM105,927) setahun bagi pekerja memiliki ijazah sarjana muda, 252,000 yuan (RM158,891) bagi lulusan sarjana dan 336,000 yuan (RM211,854) untuk kakitangan yang mempunyai ijazah doktor falsafah. Syarikat berkenaan pernah terpalit kontroversi pada tahun 2017 dan 2019 termasuk mendakwa air kelapa keluarannya boleh membesarkan payudara. Sumber: Kosmo!
|
ADVERTISEMENT