Penyanyi popular Akim Ahmad mengakui dia memikul tanggungjawab berat apabila dipilih menjadi penyanyi kumpulan rock legenda Search dalam persembahan istimewa Rockology Malaysian Tour 2021 Search X Akim di Waronk Avenue, Melaka, Sabtu ini.
Akim, 30, yang juga penyanyi The Majistret berkata, dia gementar dan dalam masa teruja untuk tampil membuat persembahan bersama kumpulan rock pujaan ramai itu. "Antara sebab utama terima tawaran ini adalah kerana tanggungjawab. Sudah tentu saya berasa satu penghargaan selain berasa gementar dan teruja untuk pikul tanggungjawab ini. "Search adalah nama besar dan sudah seperti khazanah negara dalam sejarah industri muzik tanah air. Sumbangan mereka sangat besar dan apabila anggota Search memberikan tugasan ini, ia satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul bersama dengan jenama Search itu sendiri.
"Sebagai orang yang membesar dengan lagu Search, ini adalah satu peluang yang datang sekali seumur hidup. Malah, anggota kumpulan The Majistret juga menyokong saya supaya menerima tawaran Search itu," katanya.
Dalam persembahan bermula jam 9 malam itu, Akim akan bergabung bersama pemain gitar Search iaitu Din dan Kid. Mereka juga disertai pemain dram, Pae yang juga pemuzik undangan Search sejak beberapa tahun lalu dan Galang sebagai pemain bass. Bagaimanapun, persembahan itu tidak akan disertai pemain bass, Nasir yang terikat dengan komitmen perniagaan barunya. Nasir hanya akan terbabit dalam persembahan lain yang akan datang. Dalam pada itu, Akim berharap peminat Search dapat hadir dan memberikan sokongan kerana persembahan itu adalah permulaan kepada persembahan lain yang bakal dijayakan di beberapa lokasi lagi. "Harapan saya agar semua dapat datang. Mungkin bagi mereka yang merindukan bunyi-bunyian gitar daripada abang Din dan Kid, mereka boleh datang ke persembahan ini.
"Ini adalah permulaan kepada persembahan lain sepanjang tahun ini. Mereka ada banyak perancangan lagi. Jadi, kena datang dan memberikan sokongan," katanya. Tiket dijual pada harga RM100 dan pembeli tiket berpeluang untuk menghadiri sesi ramah mesra Sabtu ini jam 5.30 petang. Persembahan berdurasi satu jam itu bakal menyaksikan Search X Akim mempersembahkan lagu popular Search. Selain Melaka, Rockology Malaysian Tour 2021 juga bakal diteruskan di beberapa lokasi lain iaitu Kuala Lumpur pada Jun ini, Perak (Julai), Pulau Pinang (Ogos), Johor Bahru (September) dan lain-lain lokasi yang akan dimaklumkan secara rasmi dalam masa terdekat ini. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|