2020 disifatkan tahun bertuah buat penyanyi lagu Sumpah, Aina Abdul. Banyak kejayaan yang diraih seperti juara Vokal Mania dan The Masked Singer, tahun lalu meletakkan kerjaya penyanyi kelahiran Jempol, Negeri Sembilan itu di puncak kegemilangan.
Namun, selepas dinobat gelaran naib juara menerusi lagu Semalam pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35, timbul desas desus mengatakan Aina mula besar kepala.
Kononnya, Aina melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila membawa 25 rombongan ke malam kemuncak anugerah berprestij berkenaan. Tidak cukup itu, Aina dan pasukan dikatakan turut mengarah jurukamera merakamkan sudut sesuai untuk dirinya ketika membuat persembahan. Bertemu Aina pada majlis perlantikannya sebagai wajah kempen produk penjagaan wajah Truskin, Aina menafikan membelakangkan tenaga produksi AJL35. Sebaliknya, setiap keputusan yang dilakukan mendapat persetujuan produksi TV3 terlebih dahulu. "Saya hanya mahu memberikan persembahan yang terbaik. Bukan untuk diri sendiri, tetapi keseluruhan pasukan yang bertungkus lumus pada malam kemuncak AJL35. Ini kerana saya lebih selesa membawa kru sendiri setiap kali mengadakan persembahan. "Sejak bertanding dalam program realiti, Vokal Mania, saya sudah terbiasa membawa rombongan sendiri. Malah, TV3 sudah memahami cara kerja saya dan sangat positif. "Bagaimanapun, apa sahaja keputusan yang dibuat, tentulah mendapat persetujuan penerbit terlebih dahulu. Alasan saya membawa kru yang ramai kerana banyak perkara perlu diuruskan sewaktu di pentas yang membabitkan, pakaian, lampu dan penari," katanya kepada BH Online.
Jelas Aina lagi, dia tidak akan sesekali meletakkan kerjaya seninya di ambang 'bahaya' dengan bersikap besar kepala. Apatah lagi, dia sudah menganggap anugerah berprestij itu sebagai lubuk rezekinya. Namun, seandainya ada yang menuduhnya sombong, Aina berkata, dia hanyalah manusia biasa. "Selalunya kali pertama berjumpa, orang akan menganggap saya sombong. Saya akui, tidak banyak cakap, tetapi selepas mengenali saya barulah mereka tahu saya boleh dibuat kawan," kata Aina.
Selain itu, Aina berkata, dia tidak suka melayan komen negatif mengenai corak persembahannya. Bukan tidak boleh menerima teguran, sebaliknya penyanyi berusia 28 tahun itu hanya mahukan ketenangan. "Perkara ini akan mengekori saya sampai bila-bila. Tidak kisahlah bagaimana cara saya menyanyi pasti ada sahaja komen negatif. "Cuma, saya lebih gemar tidak membaca komen negatif. Saya boleh jadi gila sekiranya melayan komen sedemikian. "Mujur saya ada pasukan sentiasa mengingatkan saya supaya terus bekerja. Mereka tidak menekan, tetapi kami melakukannya dengan cara yang seronok, jadi ia mampu mengalihkan perhatian saya daripada memikirkan perkara negatif," katanya. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|