Golongan pekerja dari Kesatuan Gabungan Pekerja Indonesia (KSPI) melancarkan demonstrasi di sini bagi menuntut elaun cuti Hari Raya (THR) untuk tahun ini dibayar secara penuh. Lapor CNN Indonesia, kumpulan pekerja mula berhimpun di Patung Kuda sebelum berarak ke Mahkamah Perlembagaan.
Ketua Jabatan Media dan Komunikasi KSPI, Kahar Cahyono berkata, golongan pekerja mahu THR dibayar secara penuh dan bukannya ansuran bagi membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri. “Terdapat juga tuntutan lain dalam demonstrasi kali ini iaitu KSPI akan mendesak Mahkamah Perlembagaan untuk membatalkan Undang-Undang Cipta Kerja. “Selain itu, KSPI turut menuntut kerajaan menyegerakan pelaksanaan gaji minimum bagi sektor daerah 2021 dan menyelidik secara menyeluruh mengenai dakwaan rasuah di Badan Penyelenggara Jaminan Sosial Tenaga Kerja,” katanya.
Terdahulu, kerajaan Indonesia mewajibkan semua syarikat swasta membayar THR secara penuh kepada pekerja mereka menjelang Aidilfitri tahun ini. Mana-mana syarikat yang didapati lambat membayar elaun tersebut akan dikenakan denda dan kerajaan memberi masa bayaran dibuat selewat-lewatnya tujuh hari sebelum raya. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT