Sejak bergelar juara mingguan program realiti, Famili Duo, pelakon, Amyza Aznan dilihat rancak berkongsi bakat nyanyian dan bermain alatan muzik anaknya, Adrian Adam dalam Instagram (IG).
Aktres yang pernah diangkat Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2019 itu berkata, dia bukan mahu menunjuk-nunjuk, sebaliknya berkongsi bakat Adrian kepada peminat. Malah, isteri kepada Khairil Idzhar Md Nazir itu bersyukur ramai pihak mula memberi perhatian dan sokongan kepada Adrian. "Saya percaya setiap ibu mahu yang terbaik untuk anak. Saya sendiri pernah melalui laluan kesukaran untuk mengetengahkan bakat. Jadi, saya sedar bukan senang mendapat ruang dan peluang seumpama ini.
"Platform program realiti, Famili Duo menjadi pembuka jalan buat Adrian berkongsi bakat. Selama ini, Adrian sendiri tidak yakin dengan bakat yang ada. "Malah, Adrian juga pernah dipermainkan oleh pihak tertentu, sebelum ini. Orang luar boleh berkata apa sahaja, tetapi ia tak menjadi kudis buat saya. Niat saya hanya mahu menyokong bakat anak," katanya kepada BH Online.
Tuah lebih mendakap ibu dan anak ini apabila diundang menyanyi lagu tema kempen Ramadan TV3 dan TV9 berjudul Salam Sayang ciptaan Sharon Paul. "Tidak dinafikan, rezeki datang berlimpah ruah selepas kemenangan dalam program realiti, Famili Duo. "Saya dan Adrian juga terpilih menyanyikan lagu Salam Sayang. Lagu ini dirakamkan kira-kira tiga minggu lalu. Awalnya, saya merancang mahu merakamkan lagu komersial, bukannya lagu raya.
"Adrian sepatutnya merakamkan dua lagu lama ciptaan Sharon, Gundah nyanyian asal Ernie Zakri dan Sampai Bila (Misha Omar). Kemudiannya, Sharon tukar perancangan memandangkan puasa dan Aidilfitri sudah dekat. "Jadi, terhasillah lagu raya duet antara saya dan Adrian. Cuma, saya memang tidak tahu lagu Salam Sayang ini akan dijadikan lagu kempen raya. Tak sangka karya ini dipilih sebagai lagu tema kempen TV3 dan TV9," kata Amyza. Amyza berkata, dia kini bertindak sebagai 'mamager' iaitu mama dan manager menguruskan kerjaya nyanyian Adrian. "Saya bantu setakat termampu. Saya cuma harap Adrian lebih serius kerana peluang tidak datang selalu. "Jujurnya, saya bimbang juga kalau Adrian tidak mampu menahan mental dengan permainan dunia hiburan. Harap Adrian kuat macam saya. Cuma, Adrian kena lebih aktif untuk mengemaskini aktiviti seni dalam media sosial," katanya.
Sementara itu, Adrian mengakui, cabaran merakamkan lagu Salam Sayang bukan semudah disangka. "Susah juga pengalaman merakamkan lagu ini. Ia perkara baharu dan saya takut buat salah. Tambah pula, saya lebih suka kepada lagu yang menguji vokal, tetapi lagu ini lebih berentak tradisional," kata Adrian yang merakamkan lagu Salam Sayang berasingan dengan ibunya. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|