Polis menahan seorang warden penjara selepas videonya tular menyokong kekejaman rejim Israel terhadap Palestin di aplikasi TikTok, kelmarin. Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, suspek berusia 31 tahun ditahan selepas dipanggil hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bagi memberi keterangan.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek turut mendapati positif morfin. “Susulan video tular itu, suspek dipanggil untuk memberi keterangan sebelum ditahan. “Hasil siasatan awal, suspek dipercayai telah memuat naik rakaman video tersebut ketika dibawah pengaruh dadah,” katanya ketika dihubungi semalam. Ujarnya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakannya untuk memuat naik video tersebut di aplikasi TikTok. “Suspek direman dua hari bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1988.
“Dia juga akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. Terdahulu, tular video berdurasi 59 saat memaparkan seorang lelaki menyokong tindakan Israel melalui akaun TikTok bernama @pahlawan90. Video tersebut menimbulkan kemarahan netizen dan masyarakat secara amnya kerana dilihat menyentuh sensitiviti agama. Sumber: K! ONLINE
|
ADVERTISEMENT