Seremban: Seorang warga emas kerugian RM23,300 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menyamar rakan lamanya menerusi laman sosial dan memaklumkan dirinya layak menerima bantuan pesara B40. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, lelaki berusia 68 tahun itu sebelum itu menerima pesanan di laman sosial Facebook daripada kenalan lama. Menurutnya, rakan lamanya itu kemudian meminta mangsa menekan satu pautan untuk mendapatkan bantuan pesara B40. "Rakannya itu memaklumkan bahawa dia menerima bantuan terbabit dan pengadu mula tertarik untuk mendapatkan bantuan itu. "Mangsa kemudiannya menekan 'link' berkenaan dan disambungkan kepada seorang ejen, sambil memberitahu dia memenangi hadiah wang tunai RM100,000, namun perlu membuat bayaran terlebih dahulu untuk menebus wang tunai itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa membuat 20 transaksi ke dalam akaun berlainan sejak 16 Disember 2020 hingga 18 Jun lalu, sebelum menyedari dirinya ditipu. Menurutnya, mangsa tampil membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Aibee berkata, sehingga kini pihaknya menerima 45 kertas siasatan yang menggunakan modus operandi yang sama. "Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada dengan setiap pesanan diterima, sama ada melalui kenalan lama atau baharu menerusi di laman sosial," katanya. Sumber : Harian Metro |
ADVERTISEMENT