Pelakon, Amyra Rosli, 29, tidak kisah menolak tawaran lakonan, selagi kes penularan COVID-19 tidak menunjukkan penurunan meyakinkan. Amyra atau nama sebenarnya, Nur Amira Izzati Rosli berkata, dia lebih mengutamakan keselamatan dan kesihatan keluarga pada ketika ini.
"Buat masa ini, saya tidak akan menerima tawaran lakonan. Drama terakhir, Sabarlah Duhai Hati ditayangkan Mei lalu. "Bukan tiada tawaran, tetapi saya belum 'lock' mana-mana projek drama lagi. Saya nak tunggu hingga kerajaan memberi kebenaran penggambaran. Bagaimanapun, ia juga bergantung kepada situasi semasa. "Saya tidak boleh memikirkan diri saya sahaja. Saya kena memastikan orang sekeliling seperti suami, anak, ibu bapa dan keluarga selamat. Sekarang, saya hanya aktif menjayakan kempen dalam media sosial dan duduk di rumah memasak untuk keluarga," katanya kepada BH Online.
Amyra berkata, melihat rakan pelakon yang dijangkiti COVID-19 membuatkannya lebih berhati-hati. Kongsi isteri kepada pelakon, Amar Baharin itu, dia dan suami juga pernah diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri berikutan beberapa artis yang terbabit dalam penggambaran bersamanya disahkan positif COVID-19. "Mei lalu, saya terbabit dengan penggambaran filem arahan Feroz Kader yang membabitkan 25 artis. Dalam file itu, adalah Nora Danish dan Reen Rahim yang disahkan positif terbabit sama.
"Sebelum itu, saya bersama dengan mereka dalam adegan di kafe. Jadi, apabila Nora mendedahkan dirinya positif dan minta sesiapa pernah bertemu dengannya membuat ujian calitan, saya dan Amar tidak berjumpa anak-anak. "Kami terus buat ujian calitan dan kuarantin kendiri. Saya dan Amar dinasihatkan menjalankan kuarantin kendiri selama 10 hari. Kami akur dan Alhamdulillah, disahkan negatif," katanya. Pelakon yang mengukir nama menerusi drama Nur dan Cemburu Seorang Perempuan itu berkata, dia tidak menyalahkan sesiapa apabila terbabit dengan kontak rapat COVID-19.
"Tak guna nak menuding jari, menyalahkan sesiapa, apa yang penting, kena jaga diri. Menyalahkan orang bukanlah satu sikap yang baik. Jadi, saya perlu menjaga diri kerana jika terjadi apa-apa, anak-anak yang masih kecil dirisaukan," katanya. Disebabkan itu, Amyra memohon orang ramai menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan akur dengan arahan duduk di rumah bagi kebaikan bersama. "Kita tidak boleh mementingkan diri pada saat ini. Kita semua orang rindukan orang tua di kampung, tetapi nak buat macam mana? Anak kedua, Ayra Aryssa hingga hari ini belum bertemu keluarga sebelah suami.
"Ini kerana selepas habis berpantang terus Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan hingga sekarang. Ayra belum sempat diperkenalkan kepada saudara mara," katanya. Amar dan Amyra mendirikan rumah tangga pada 11 November 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata, Aqeef Anaqi, 3, dan Ayra yang lahir pada 1 Februari, tahun lalu. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|