Seorang wanita ditahan polis selepas didakwa membakar enam motosikal termasuk milik bekas suaminya di sebuah tempat letak kenderaan di sini. Lapor Nation Thailand, wanita itu pada mulanya didakwa membakar motosikal bekas suaminya pada Isnin lalu, sebelum api merebak dan membakar lima lagi motosikal yang diletakkan berhampiran.
Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan wanita itu melarikan diri dengan menaiki teksi selepas membakar motosikal bekas suaminya. Susulan kejadian berlaku di tempat letak kenderaan di Universiti Srinakharinwirot itu, pemilik motosikal berkenaan membuat laporan polis dan mengesyaki bekas isterinya dalang kejadian. Pasangan itu bercerai sejak tiga bulan lalu dan mangsa percaya bekas isterinya berdendam susulan perceraian tersebut.
Menurut polis, wanita berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah bilik sewa di sini dan sempat bersembunyi di dalam almari pakaian. Wanita itu mengakui kesalahannya dan memaklumkan dia membakar motosikal bekas suaminya kerana lelaki itu mungkir janji untuk menjual kenderaan tersebut bagi membantu melangsaikan hutang kakaknya. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT