Jika ikutkan, pelakon Dayang Areeda sudah tujuh tahun bergelar pelakon, namun belum rezeki menempa populariti seperti bintang drama lain.
Akur rezeki belum menyebelahinya, Dayang Areeda atau nama sebenarnya, Dayang Areeda Datu Abdul Razak hanya mampu berdoa magis akan berlaku dalam hidupnya. Tidak sesekali mengalah, Dayang Areeda tetap bersyukur, tawaran lakonan masih lebat dan tidak pernah putus rezeki untuk terus aktif di hadapan lensa kamera. Ketika ini, dua drama lakonannya, Masih Ada Rindu dan Derita Untuk Bahagia rancak disiarkan di kaca televisyen (TV). "Saya percaya dan yakin dengan rezeki Allah. Ada pelakon masuk industri seni, nama terus melonjak naik. Bagi saya, tidak mengapalah jika saya perlu bertatih perlahan-lahan daripada bawah.
"Siapa tahu, mungkin nama saya akan menyerlah dan dikenali ramai, suatu masa nanti. Biarpun menempa populariti, saya bersyukur masih menerima tawaran berlakon dan terus berada dalam industri," katanya kepada BH Online.
Mengulas watak Nasya dalam drama Masih Ada Rindu arahan Osman Ali yang kini bersiaran di slot Akasia, TV3, gadis kelahiran Kudat, Sabah itu berkata, dia tidak boleh menidakkan cabaran menghidupkan watak pesakit bipolar disorder atau gangguan mental bukannya mudah. "Nasya digambarkan pesakit gangguan mental yang berkait rapat dengan masalah emosi yang sering berubah-ubah sehingga menjejaskan aktiviti seharian. "Tidak mudah menghidupkan watak ini. Namun atas bantuan dan tunjuk ajar pengarah, selain melihat orang terdekat yang turut menghidapi penyakit ini, saya cuba menyelami karakter Nasya sebaik mungkin.
"Saya ada rakan yang juga pesakit gangguan mental. Jadi, saya melihat bagaimana karakternya boleh berubah daripada pendiam dan ketawa secara tiba-tiba tanpa sebab," katanya. Dalam pada itu, Dayang Areeda juga buat kali pertama bekerja di bawah arahan pengarah berkaliber itu.
"Saya suka mencabar diri untuk bekerja dengan pengarah yang belum pernah bekerjasama. Saya percaya semua pelakon menyimpan impian mahu bekerja di bawah arahan Osman. Ini kerana kita tahu hasil ceritanya sangat berkualiti. "Sebagai pelakon yang masih hijau, saya mencabar diri bekerja dengan Osman. Umumnya tahu Osman adalah pengarah yang hebat. Segala tunjuk ajar diberikan sangat mudah difahami. "Jika tidak berpuas hati dengan babak dilakonkan, Osman akan minta pelakon mengulanginya sekali lagi. Daripada situ, kita tahu di mana kesilapan yang perlu diperbaiki," ujarnya.
Selain Dayang Areeda, drama Masih Ada Rindu turut dibintangi oleh Farid Kamil, Mimi Lana dan Halim Radzi. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|