Mengalami nasib yang sama, Aprena Senrose turut berasa simpati dengan hinaan yang diterima pelakon Elizad Sharafuddin berkaitan soal rezeki anak.
Bagaimanapun Aprena, 28, berkata, dia tidak pernah dilemparkan dengan kata-kata sebegitu kesat yang keterlaluan sehingga menggores hati. “Saya kesian dan sedih dengan apa yang berlaku pada Elizad, setakat ini saya tidaklah kena kecaman teruk macam tu. “Selalu saya ditanya je bila nak dapat anak. Bagi saya itu semua ketentuan Allah yang mana kami sebagai wanita hanya mampu ikhtiar,” ujarnya kepada mStar. Aprena berkata demikian pada sidang media drama Hati Mu Sedingin Salju yang diadakan secara maya pada Khamis.
Pada malam Rabu, pelakon Elizad meluahkan rasa sedih apabila menerima hinaan di ruangan komen platform media sosial sebuah portal yang menuduhnya sebagai mandul, tidak solat dan tidak menutup aurat. Elizad memberitahu dia sudah berusaha pelbagai cara dan rawatan untuk mendapatkan cahaya mata namun masih belum dikurniakan rezeki itu.
Susulan itu pelakon Teman Lelaki Upahan berkenaan membuat laporan polis pada malam Rabu terhadap seorang netizen yang dianggap melampau dan cuba menjatuhkan maruahnya. Sementara itu, Aprena yang sudah empat tahun mendirikan rumah tangga mengakui turut berusaha menjalani pelbagai rawatan sebagai ikhtiar mendapatkan anak. Dia juga berharap semua pihak faham dengan situasi yang dialami oleh wanita yang senasib dengan mereka.
“Pertanyaan fasal anak itu dah memang soalan wajib orang akan tanya saya. Bagi saya tidak sensitif sebab saya dah bersedia... nak tak nak kena jawab juga. “Sekarang masih berusaha pelbagai rawatan kesuburan. Kalau dah berhasil saya kongsikan jenis rawatan apa yang saya jalani, ” ujarnya.
Aprena atau nama sebenarnya Wan Syahera Putri Aprena Wah Syahman mendirikan rumah tangga dengan Mohd Afiq Hazman pada 2016. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|