New Delhi: Seorang wanita membatalkan perkahwinannya selepas mengetahui bakal suaminya memakai cermin mata untuk membaca akhbar. Perkahwinan yang sepatutnya berlangsung di Auraiya, Uttar Pradesh itu terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir selepas pengantin perempuan enggan berkahwin dengan lelaki yang memiliki tahap penglihatan rendah.
Perkahwinan itu diaturkan keluarga menurut The Times of India dan amalan itu masih dipraktikkan dalam masyarakat di India. Disebabkan membatalkan perkahwinan, keluarga pengantin perempuan perlu membayar hantaran kahwin secara tunai bersama sebuah motosikal. Agensi berita ANI melaporkan pengantin perempuan dikenali sebagai Archana berasal dari Sadar Kotwali, manakala pengantin lelaki, Shivam dari Kampung Banshi.
Perkahwinan seperti itu pada kebiasaannya diatur dengan teliti dan pasangan yang dipilih dipercayai sesuai dengan latar belakang pendidikan dan status sosial pemuda itu. Pada hari perkahwinan, pengantin wanita dan keluarganya menyedari bahawa Shivam memakai cermin mata. Curiga dengan perkara ini menyebabkan keluarga Archana meminta pengantin lelaki untuk melakukan ujian penglihatan. Mereka meminta Shivam membaca akhbar tanpa menggunakan cermin mata dan ternyata lelaki itu tidak dapat membaca dengan baik. Keadaan itu menyebabkan keluarga pengantin perempuan membuat keputusan untuk membatalkan perkahwinan kerana tidak mengetahui pengantin lelaki memakai cermin mata. "Anak perempuan saya enggan berkahwin dengannya," kata Arjun Singh, bapa kepada pengantin perempuan. Katanya, dia tidak menyangka penglihatan bakal menantunya itu begitu teruk dan selepas mengetahui perkara itu, anak perempuannya enggan meneruskan majlis perkahwinan. Namun, ia tidak terhenti begitu saja kerana keluarga pengantin lelaki meminta hantaran kahwin termasuk motosikal. Selain itu, pihak berkenaan turut menuntut perbelanjaan perkahwinan supaya dipulangkan semula. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT