Tindakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu Datuk Seri Rina Harun menyuap makanan kepada anak perempuan Fendy Caliph Busker ketika menyantuni keluarga terbabit di ibu negara pada Sabtu, mendapat kecaman ramai. Kejadian itu mula tular dalam media sosial apabila Rina didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal malah menyuap anak Fendi, Nur Azaela Zafirah dengan tangan semasa kunjungannya ke kediaman pemain dram Caliph Busker itu pada pagi Sabtu. Dalam satu kenyataan media, Rina menzahirkan permohonan maaf susulan tindakannya itu dan memperjelaskan kejadian sebenar. "Pertamanya, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin akan pematuhan SOP dalam usaha menangani penyebaran wabak COVID-19. Berikutan berita yang tular berkenaan tindakan saya menyuapkan makanan kepada seorang kanak-kanak OKU bernama Nur Azalea Zafirah, berusia 6 tahun yang merupakan anak kepada saudara Fendy Adlun, pemuzik Caliph Buskers. "Saya memohon maaf andai kiranya tindakan responsif saya tidak menyenangkan mata dan menimbulkan persoalan dan kebimbangan kepada sesetengah pihak. Untuk makluman semua, kanak-kanak tersebut merupakan seorang kanak-kanak OKU penglihatan dan autisme yang mana anak ini berada dalam keadaan kurang ceria ketika ketibaan saya. "Namun kanak-kanak tersebut beransur ceria dan tenang apabila dipujuk dan ditawarkan hidangan makanan yang saya bawa. Bapa beliau sendiri memaklumkan bahawa anaknya tidak mampu makan sendiri dan perlu dibantu dalam menyuapkan makanan kepada anaknya. "Hati saya menjadi lebih tersentuh apabila kanak-kanak tersebut sendiri menyebut "Nak Aunty suapkan..." kepada saya. Untuk tidak menghampakan anak istimewa ini, saya terus menyuapkan makanan tersebut sebagai sebahagian pendekatan psikososial dlam menzahirkan rasa kasih sayang saya sebagai seorang wanita kepada kanak-kanak apatah lagi buat insan yang kurang bernasib baik ini," jelas Rina. Tegasnya, beliau sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri setiap masa dengan menggunakan sanitasi tangan sebelum dan selepas menyantuni kumpulan sasar memerlukan bantuan. Bagaimanapun, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih terhadap orang ramai yang sedia menegurnya bagi memperbaiki tugasan sehariannya. Kunjungan itu turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal. Tinjauan mendapati tindakan Rina itu mendapat reaksi pelbagai dari netizen. Walau bagaimanapun, Fendy berpendapat tindakan itu tiada salahnya malah berharap orang ramai memahami keadaan anaknya yang cacat penglihatan dan mengalami masalah autisme. |
ImpianSeroja replied at 12-7-2021 06:50 AM
Tak perlu la up kat socmed kot ye pun menyantuni..up bg sumbangan udah ler
ADVERTISEMENT