LONDON – Sebuah buku berusia 110 tahun yang mengandungi resipi ‘Cara-cara untuk memasak suami’ ditemui dalam satu pembersihan rumah, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Buku berjudul ‘250 Tried Recipes for Everyday Use’ itu menampilkan pelbagai resipi daripada suri rumah sekitar Britain sejak 1911 dan ditemui di bahagian dapur sebuah premis di Derbyshire Selatan. Buku tersebut akan dijual di syarikat lelongan Hansons Auctioneers di Etwall, Derbyshire dan dianggarkan bernilai antara £30 hingga £50 (RM176 hingga RM293). Kebanyakan resipi menampilkan jenaka mengenai cara terbaik untuk ‘memasak suami’ kerana terlalu banyak suami yang disalah urus.
Penerangan bersifat melucukan itu termasuk merendam suami dalam air panas, memanggang suami atau meletakkan suami dalam air rebusan jika menyebut perkataan dan kelakuan yang menjengkelkan. Suri rumah itu juga mencadangkan untuk menambah sedikit gula dalam bentuk kucupan dan rempah ratus untuk menambah baik rasa masakan istimewa itu. Resipi itu ditulis oleh Mrs. Perfect dari Highclere, Stapenhill, Staffordshire. “Ramai suami-suami berubah menjadi manja apabila ‘dimasak’ menggunakan resipi ini. “Isteri tidak boleh menharapkan suami mereka menjadi baik jika dilayan elok namun mereka boleh menjadi sangat enak jika ‘dimasak’ dengan sempurna,” tulisnya.-CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT