Perjalanan Anna Jobling dalam industri seni hiburan tidak hanya berbekalkan raut wajah kacukan Inggeris-Melayu yang jelita, sebaliknya sejak usia belasan tahun lagi, Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman sudah berusaha keras.
Ketika umurnya 15 tahun, Anna sudah bergelar model yang menghiasi iklan komersial televisyen dan majalah. Kemudian ketika menjengah usia 18 tahun, dia memberanikan diri mencuba nasib dalam pencarian Dewi Remaja 2018/2019 sebagai salah satu platform untuk memasuki dunia seni. Biarpun sekadar memenangi tempat keempat, Anna tidak berputus asa sebaliknya sedaya upaya membina nama dan mencari hala tuju terbaik buat dirinya.
Siapa sangka, hari ini Anna mampu menarik nafas lega apabila menerima tawaran demi tawaran sebagai pelakon yang masih hijau dalam kanvas seni hiburan.
"Ketika mula-mula terjun dalam bidang ini, saya akui tidak yakin kerana kemampuan bahasa Melayu yang lemah. Sebaik program Dewi Remaja tamat, saya ada menerima tawaran berlakon tapi terpaksa tolak kerana skripnya dalam bahasa Melayu dan saya enggan menyusahkan kru produksi. "Jadi, pada waktu itu saya hanya ambil peluang mengikut kemampuan diri iaitu menerima tawaran skrip berlakon dalam bahasa Inggeris sahaja. "Tapi bermula awal tahun lalu, saya memberanikan diri mencuba nasib dan akhirnya drama Shah Alam 40,000 menjadi projek pertama saya. Malah, saya mengaku banyak berlatih bertutur dalam bahasa Melayu ketika berada di lokasi penggambaran dan akan bertanya jika ada kesalahan sebutan.
"Ibu saya yang berketurunan Melayu menjadi individu paling banyak membantu saya untuk memantapkan lagi penguasaan bahasa kebangsaan ini. Dengan inisiatif dibuat, saya harap dapat memperbaiki diri menjadi lebih baik," katanya. Tambah Anna, wajah kacukan yang dimilikinya bukan satu jaminan akan menerima tawaran berlakon yang melimpah-ruah. Bagaimanapun, Anna tidak menafikan ada watak yang bersesuaian dengan dirinya. "Pada awalnya saya ada terfikir perkara sama, tapi sebenarnya ada saja watak yang sesuai dengan saya. Lagipun sekarang ini saya dah boleh bercakap dalam bahasa Melayu dengan baik, jadi akan memudahkan urusan penggambaran," katanya.
Penyertaannya dalam program Dewi Remaja sememangnya tidak disangka-sangka kerana Anna tidak meletakkan sebarang harapan tinggi, namun bersyukur apabila dia terpilih untuk bersaing dengan peserta lain meskipun, tidak memenangi pertandingan itu. "Pada awalnya saya sekadar mencuba nasib saja dan tidak meletakkan sebarang harapan tinggi. "Sejujurnya tak sangka dapat nombor empat, kerana beberapa kali saya menduduki tempat terendah dan tertanya-tanya kenapa saya tidak disingkirkan. "Tapi saya percaya mungkin inilah jalan dan cahaya untuk saya memasuki dunia seni. Kalau kita tengok, ada juga peserta Dewi Remaja yang tidak menang sebelum ini tapi berjaya menempa nama dan dikenali. "Bagi saya, semuanya bergantung kepada usaha dan kerja keras untuk merencana perjalanan dalam bidang seni yang diceburi ini," katanya.
Penularan Covid-19 dalam negara sejak tahun lalu hingga kini, tidak dinafikan menjadi penghalang kepada wanita jelita ini untuk menyusun karier seninya sebagai pelakon. Namun, Anna percaya rezeki tidak akan pernah salah alamat dan akan menanti setiap peluang itu apabila semuanya sudah kembali pulih. "Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya banyak habiskan masa bersama keluarga dan kucing kesayangan. "Saya juga kerap membaca buku dan menonton drama menarik untuk menimba lebih banyak ilmu baharu. "Tipulah kalau tak sedih apabila perjalanan seni saya sedikit tergendala sebab banyak perancangan yang sudah diatur oleh pihak pengurusan tapi, tiba-tiba PKP ini berlangsung dalam tempoh yang panjang.
"Saya reda dan demi keselamatan rakyat Malaysia, kita perlu bersatu untuk mengekang penularan wabak berbahaya ini," katanya yang sudah selesai menerima dua dos vaksin pada Julai lalu. Dalam perkembangan lain, drama Shah Alam 40,000 yang dibintangi Anna kini menemui penonton di slot Akasia TV3, jam 7 malam. Selain Anna, drama terbabit turut dibintangi Rita Rudaini, Datin Paduka Umie Aida, Aedy Ashraf Fadlan Hazim dan ramai lagi. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|