Pemain dram kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun, 30, berpuas hati dengan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia, Bandar Tun Razak, di sini, diterimanya.
Berkunjung ke rumah baharu bagi membuat pemeriksaan selepas mengambil kunci rumah di ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini, Fendy berkata, dia bersyukur penantiannya selama tujuh tahun kini sudah berakhir. "Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa kerana merealisasikan impian ini. Saya sudah pergi melihat rumah dan Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan baik, tiada kebocoran atau sebagainya. "Jujurnya, saya sangat berpuas hati kerana tujuh tahun menantikan rumah ini. Kini, saya boleh mendiami rumah baharu dalam masa terdekat, insya-Allah," katanya kepada BH Online.
Bagaimanapun, bapa kepada Nur Azalea Zafirah, 6, berkata, dia belum boleh memberi jawapan bila akan berpindah ke kediaman berkenaan. "Sekarang saya mahu mengemas, lagi pun nak buat pergerakan besar tidak boleh dalam pelaksanaan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), jadi agak sukar untuk berpindah. Mungkin dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi barulah saya boleh menetap di PPR Taman Mulia. "Saya sudah memaklumkan, tuan rumah memahami dan memberikan saya masa. Bulan hadapan adalah terakhir saya membayar sewa rumah. Jika masih menetap pada bulan seterusnya, saya akan menggunakan duit pendahuluan masuk rumah yang dibayar, sebelum ini. "Alhamdulillah, segala-galanya dipermudahkan. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang membantu," katanya. Terdahulu, Fendy meluahkan kegusaran selepas hampir sebulan dikunjungi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, tetapi belum mendapat perkhabaran mengenai permohonan mendapatkan rumah mampu milik DBKL itu. Sebelum itu, tular video yang dimuat naik Fendy dalam Facebook yang memohon Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memudahkan permohonannya mendapatkan rumah mampu milik DBKL pada Julai lalu. Ia berikutan pendapatan Fendy terjejas teruk ekoran penularan COVID-19 sehingga sukar membayar sewa rumah sebanyak RM1,300 sebulan dan perlu menyara anak tunggal perempuan. -CARI Sumber: Berita Harian
|
ADVERTISEMENT