Seorang lelaki di India dilaporkan telah menggigit seekor ular berkali-kali sehingga mati hanya semata-mata mahu membalas dendam disebabkan ular tersebut telah mematuknya terlebih dulu sebelum itu.
Kishore Badra, yang berasal dari kampung Gambharipatia di daerah Jajpur, India, sebelum itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bekerja di sawah padi apabila seekor ular tiba-tiba menggigit kakinya. “Saya berasakan sesuatu menggigit kaki saya ketika sedang berjalan pulang ke rumah malam tadi. Saya kemudiannya menghidupkan lampu suluh dan mendapati ia adalah seekor ular jenis krait berbisa. “Demi membalas dendam, saya mengambil ular itu menggunakan tangan lalu menggigitnya berulang kali sehingga ia mati di tempat kejadian,” katanya kepada agensi berita Press Trust of India. Badra kemudiannya membawa bangkai ular tersebut untuk ditunjukkan kepada penduduk kampungnya dan menegaskan bahawa dirinya baik-baik sahaja. Dia yang enggan dirawat di hospital sebaliknya pergi mendapatkan rawatan tradisional.
"Walaupun saya menggigit ular krait beracun, saya tidak berasakan keperitan. Saya telah berjumpa seorang bomoh tradisional yang tinggal berdekatan dengan kampung dan berjaya dirawat,” jelas Badra. Krait merupakan ular berbisa sepanjang tiga kaki yang terdapat di selatan Asia dan Asia Tenggara. Ia dipercayai lebih aktif pada waktu malam manakala gigitan ular itu biasanya berbahaya kerana bisanya boleh membahayakan nyawa seseorang atau menjadi lumpuh anggota badan. Menurut sebuah kajian pada tahun 2020, India merupakan negara tertinggi di dunia dalam kes kematian akibat gigitan ular dengan purata sebanyak 58,000 kes setahun. - CARI Sumber: mStar/Independent
|
ADVERTISEMENT