Seorang suami membuktikan rasa cinta dan setia kepada isterinya dengan menghantar dan mengambil wanita itu dari tempat kerja menggunakan sebuah basikal selama 28 tahun, lapor portal berita Wolipop semalam.
Menerusi klip video yang dimuat naik di TikTok, pasangan suami isteri itu dilihat sedang menunggang dan membonceng sebuah basikal melalui jalan raya yang sibuk. “Suami setia, 28 tahun menghantar dan menjemput isteri dari tempat kerja menggunakan basikal. Cinta sejati pekerja kami,” tulis keterangan dalam video tersebut. Video itu dimuat naik oleh majikan wanita berkenaan, Debby Inne Susanto yang memiliki sebuah kedai di wilayah Jawa Tengah. “Wanita itu ialah jurujual di kedai kami yang bernama Mulyani. Dia sudah berkerja di sini selama 28 tahun. “Sepanjang tempoh ini, setiap hari saya melihat Mulyani dihantar dan diambil oleh suaminya, Trimo dengan menggunakan basikal,” katanya.
Video yang dimuat naik itu menerima lebih tiga juta tontonan dengan ramai netizen melahirkan rasa kagum dan terharu mereka melihatkan kesetiaan pasangan suami isteri itu. “Jika majikannya tergerak hati untuk membelikan suami wanita itu sebuah motosikal, lebih mudah untuk dia menunggang motosikal,” komen seorang pengguna. “Nampaknya tak perlu beli motosikal. Ini kerana jika mereka menaiki basikal, mereka akan mempunyai masa yang lebih lama untuk berada di atas jalan sambil berkongsi cerita agar cinta tetap mekar seperti dulu,” komen seorang lagi pengguna. Sumber: Kosmo!
|
ADVERTISEMENT