Sejak Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9, nama anaknya penyanyi dan pelakon, Dafi, 33, turut menjadi tular di media sosial. Sebagai anak, Dafi atau nama sebenarnya Gaddafi Ismail yakin bapanya akan menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin. Katanya, keperibadian bapanya yang sangat bekerja keras dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga dan negara adalah bukti bahawa ini adalah hasil kerja kerasnya yang bermula dari bawah.
"Saya meletakkan diri saya sebagai seorang rakyat Malaysia biasa. Sudah tentu bila ada pemimpin yang baharu, kita mahukan beliau lakukan yang terbaik dan saya yakin papa akan lakukan sebaik mungkin" "Saya melihat dia seorang yang bekerja keras dan kejayaan beliau ini adalah hasil kerja kerasnya yang bermula dari bawah" "Sejujurnya hanya saya dan keluarga sahaja yang tahu betapa dia seorang bapa yang terbaik. Begitu juga apabila dia menjadi pemimpin yang inginkan terbaik untuk seluruh rakyat" "Dia pernah hidup susah sebab itu dia tak nak lihat orang lagi susah", katanya. Dalam pada itu, pelantun lagu Bila Terasa Rindu berkata dia sudah bersedia untuk menerima kecaman dan kritikan daripada individu atau pihak yang kurang senang dengan keluarganya.
Peserta Akademi Fantasia musim ke-5 juga enggan terasa hati dan memilih untuk menerima setiap pendapat dengan khuznuson. "Saya bukan harus bersedia tapi memang dah bersedia. Bagi saya, dalam hidup ini bukan semua orang akan suka kita" sama juga la bukan semua orang kita suka. "Apa saja kritikan selepas ini, saya menerima dengan positif sebab semua orang ada pendapat masing-masing. Saya sendiri pun kena sentiasa berfikiran positif. "Lagipun dari dahulu lagi saya jenis tak ambil pusing dengan kritikan atau kecaman. Sejak kecil saya ikut papa, dan apa yang saya belajar daripada dia, kita kena sentiasa fikirkan orang lain" ujarnya lagi.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Ke-9 pada Jumaat selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatannya pada 16 Ogos lalu. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|