Kuantan: Dalam masa kira-kira sejam, 165 kilogram ikan selayang segar berharga 20 sen seekor habis dijual pada program jualan amal, di sini, semalam. Program jualan amal itu dikhususkan untuk golongan yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Dapur Infaq Ummah.
Setiausahanya, Zahir Shah Zahid berkata, ikan selayang yang dibekalkan nelayan tempatan dan satu keluarga hanya boleh membeli sekilogram dengan harga RM5 sahaja. "Kita bukan mencari keuntungan sebaliknya hanya untuk membantu golongan memerlukan yang terkesan dengan pelaksanaan PKP3.0," katanya di sini, semalam. Beliau menambah, aktiviti jualan bermula 9.30 pagi namun setengah jam sebelum itu sudah ramai yang beratur mengikut jarak ditetapkan petugas.
Zahir Shah berkata, selepas ini pihaknya akan memikirkan barangan keperluan apa yang sesuai untuk dijual bagi membantu masyarakat. "Kita juga mempelawa mana-mana pihak yang bermurah hati untuk memberi sumbangan bagi mengisi dana untuk membantu golongan memerlukan, selain kerajaan negeri dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) turut menghulurkan sumbangan beberapa pihak lain," katanya.-CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT