Seperti umum mengetahui, syarikat produksi drama dan filem tidak menjalankan penggambaran seperti kelazimannya ekoran situasi pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh negara.
Oleh itu, ada sesetengah pihak produksi yang telah mengambil langkah alternatif lain demi meneruskan penggambaran dalam norma baharu, misalnya dengan menerusi penggunaan gajet terkini. Pelakon, Emelda Rosemila misalnya ada berkongsi cerita pengalaman sewaktu menjalani pengambaran drama rantaian, SMK musim ketiga yang dilaksanakan secara virtual menerusi aplikasi Zoom. Menurut Emelda, ini kali pertama dia bersama rakan pelakon lain menjalani penggambaran secara virtual meski sudah lebih 20 tahun melibatkan diri dalam lakonan.
“Sebenarnya, pengambaran yang dijalankan secara virtual merupakan pengalaman yang pertama buat saya dan sudah semestinya dari segi cabaran ada sedikit perbezaan. “Tapi saya tak rasa mencabar sangat sebab saya ada suami yang sentiasa membantu supaya semuanya berjalan dengan lancar, alhamdulillah. “Saya kadang-kadang rasa macam ‘diva’ pula kerana dari segi persediaan kamera, pengcahayaan dan sebagainya, semuanya menjadi lebih mudah dengan bantuan suami.
“Malah, kebanyakan barang keperluan untuk menjalankan penggambaran dalam cara tersebut kebanyakan suami sudah ada, jadi ia memudahkan. “Rasa syukur sangat kerana semua berjalan dengan lancar,” katanya. Selain itu, isteri kepada pelakon dan pengarah, Adlin Aman Ramli ini turut berasa gembira kerana berpeluang untuk menimba ilmu serta pengalaman baru.
“Jujurnya, rasa seronok sebab sekurang-kurangnya saya boleh belajar banyak benda yang baru dan dapat menimba pengalaman, meski kita semua berada dalam keadaan norma baharu. “Walaupun kadang-kadang tidak dinafikan, macam huru-hara juga kat rumah ni masa nak buat rakaman. Kelam kabut juga dibuatnya,” selorohnya. -CARI Sumber: Media Hiburan
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|