Seorang pemandu dipenjarakan 15 bulan selepas memandu di atas landasan kereta api sehingga menyebabkan jadual perjalanan pengangkutan awam itu terjejas, baru-baru ini.
Aaron O'Halloran, 31, sebelum ini memandu kenderaannya sekitar jam 7.30 pagi pada 9 Mei menuju ke sebuah stesen kereta api di Birmingham. Berdasarkan televisyen litar tertutup (CCTV), dia kemudian didapati memandu Mitsubishi Shogun di atas landasan kereta api hampir satu kilometer sebelum meninggalkannya. Namun, para pegawai menemui sebuah telefon bimbit di dalam kenderaannya menyebabkan dia dapat dikesan dan didakwa di mahkamah kerana melakukan perbuatan tersebut. Sebelum ini, dia juga menafikan memandu kenderaan itu walaupun telah ditunjukkan dengan imej yang dirakamkan menerusi CCTV di stesen kereta api tersebut kepada polis. O'Halloran turut menafikan kepada polis bahawa perbuatannya itu telah membahayakan orang ramai yang menaiki kereta api, memandu secara haram dan memandu kenderaan tanpa insurans. Perbuatannya itu telah menyebabkan jadual perjalanan pengangkutan awam tersebut ditangguhkan selama lapan jam dan kerugian sebanyak £23,000 (RM131,224). Sumber: Sinar Harian
|
ADVERTISEMENT