Sepuluh tahun dalam industri seni, penyanyi Shiha Zikir bersyukur kerjaya dalam bidang lakonan semakin berkembang apabila diberi peluang menggalas watak utama menerusi drama Perisik Cinta Tak Diundang.
Bersyukur diberi ruang untuk terokai bidang baharu, Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir, 33, menganggap peluang itu sebagai rezeki buat dirinya. "Alhamdulillah, penerbit dan pengarah memberi ruang untuk saya menerokai benda baharu. Jujurnya, saya hargai setiap peluang diberikan. "Bagaimanapun, fokus utama adalah mencari rezeki. Populariti diperlukan setiap artis, tetapi saya bukannya mengejar populariti. "Bagi saya, biar orang kenal atas bakat dan produk dan bukannya kontroversi yang boleh membuatkan nama saya disebut-sebut," katanya kepada mStar.
Shiha berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media drama terbaharu, Perisik Cinta Tak Diundang secara virtual baru-baru ini. Drama arahan Azmi Hatta itu turut dibintangi oleh Andi Bernadee, Hafidz Roshdi, Bella Astillah, Wany Kayrie, Esma Daniel dan Fazlina Ahmad Daud. Dalam pada itu, penyanyi lagu AEWO ini turut teruja apabila impiannya untuk muncul menerusi slot Akasia tercapai.
Bimbang dengan pandangan pelakon lain, Shiha akui dia sendiri tidak menjangkakan dirinya akan terlibat dalam dunia lakonan. "Akhirnya impian saya nak muncul menerusi slot Akasia tercapai. Pada masa sama, saya gementar memikirkan apa pandangan pelakon lain, saya bukannya seorang pelakon.
"Mungkin ada yang suka dan sebaliknya, namun semua pelakon yang terlibat dalam drama itu banyak membantu saya. Dari situ, saya banyak belajar dan memperoleh pengalaman baharu. "Jujurnya, saya tak sangka boleh berada dalam bidang lakonan sebab tak terfikir nak jadi pelakon. Insya-Allah, saya mahu banyak karakter yang lebih mencabar," ujarnya. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|