Terlibat dengan beberapa kontroversi, penyanyi Iman Troye mengakui perkara itu sedikit sebanyak membantu menaikkan namanya dalam industri. Bagaimanapun, Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, 21, berkata apa yang diluahkan di laman sosial bukanlah untuk meraih publisiti, sebaliknya bertujuan mendekatkan diri dengan peminat.
"Sejujurnya kontroversi yang berlaku sebelum ini bukan berniat nak cari publisiti kerana saya hanya berkongsi apa yang saya rasa di media sosial. "Saya hanya menggunakan media sosial sepanjang pandemik ini untuk merapatkan diri dengan peminat dan berkongsi tentang kehidupan saya. "Ya saya akui mungkin betul berita (kontroversi) sebelum ini membuatkan orang lebih kenal saya tapi dalam masa sama lagu pertama nyanyian saya iaitu Teman juga membantu menaikkan nama saya," katanya kepada mStar.
Iman berkata demikian ketika ditemui di sidang media Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021) yang diadakan secara maya, pada Selasa. Bagi pencalonan awal, Iman tersenarai dalam empat kategori iaitu Artis Baharu MeleTOP, Penyanyi MeleTOP Era, BBNU MeleTOP dan Video MeleTOP. Ditanya reaksinya ketika berdepan kontroversi, Iman mengakui turut bersedih mengenang tindakan segelintir netizen yang berterusan menghentamnya di laman sosial.
Namun, dia memilih untuk kekal positif dan menganggap apa yang berlaku sebagai sebahagian proses pembelajaran untuk lebih kuat dan cekal berjuang dalam industri seni. "Saya ingatkan diri apabila melangkah dalam industri ini saya kena terima baik dan buruk perjalanan yang harus ditempuhi sebagai anak seni. "Yang buruk jadi pengajaran untuk saya lebih matang dan berhati-hati sebelum buat sesuatu... saya pun selalu terima kata-kata semangat dari rakan artis dan peminat. "Tipulah kalau saya tak stres tapi saya kena belajar membiasakan diri untuk menerima apa jua yang berlaku disekeliling saya," ujarnya.
Sebelum ini nama Iman Troye menjadi sebutan hangat netizen di apabila terlanjur berkongsi pandangan di laman sosial miliknya. Antaranya salah faham isu jerawat Jaehyun NCT dan ciapan di Twitter berkaitan kes jangkitan Covid-19 di Malaysia. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|