Penduduk anti-vaksin di sebuah perkampungan di luar bandar Guatemala menyerang jururawat yang sedang berusaha memberi suntikan vaksin Covid-19 dan menahan mereka selama tujuh jam. Kira-kira 500 individu menyekat jalan dan merosakkan kereta petugas kesihatan di Maguila, di wilayah utara Alta Verapaz, lapor BBC.
Bagaimanapun, 11 petugas kesihatan itu dibebaskan setelah polis berunding dengan penduduk kampung yang merosakkan kira-kira 50 dos vaksin. Pihak berkuasa mendakwa maklumat salah berhubung ketahanan terhadap vaksin menyebabkan bantahan penduduk di situ. Kementerian Kesihatan berkata, jururawat-jururawat berkenaan diserang secara lisan dan fizikal oleh penduduk apabila mengeluarkan angin tayar kenderaan petugas dan menghancurkan kotak sejuk yang menyimpan dos vaksin. “Kami sangat takut kerana kami tidak pernah melalui keadaan seperti ini. Kami hanya menjalankan tugas kami,” kata seorang jururawat.
Katanya, petugas kesihatan cuba menjelaskan beberapa kali bahawa vaksinasi dilakukan secara sukarela dan tidak mahu memaksa siapa pun, namun mereka tidak membenarkan petugas melakukan vaksinasi. Media tempatan melaporkan penduduk menolak vaksin itu kerana seorang penduduk kampung yang menerima vaksin mengalami kesan sampingan, yang ditafsirkan sebagai masalah kesihatan selepas menerima suntikan. Kira-kira 2.5 juta penduduk atau 25 peratus penduduk Guatemala yang layak telah divaksinasi dan kadar itu adalah terendah di Latin Amerika. Sumber: MalaysiaGazette
|
ADVERTISEMENT