Bergantung nyawa pada jantung kombinasi bateri, pelakon, pelawak dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman, 57, berserah kepada keajaiban kepada kuasa Tuhan.
Bukan mudah, apatah lagi, Bob tidak mampu bergerak seperti insan lain, malah terpaksa membawa alat bantuan jantung, Implantable Automatic Cardioverter Defibrilator (IADC) ke mana sahaja, bagaikan rakan karib. Kini, penulis lirik lagu berhantu, Isabella dan Taman Rashidah Utama kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah, sejak 1 Oktober lalu. Bob berkata, dia dimasukkan ke hospital berikutan jantung pada bahagian atas tidak berfungsi dengan baik. "Sepatutnya, saya ke HSB lebih awal, tetapi saya terpaksa tiga kali menangguhkan mendapatkan rawatan lanjut berikutan sekatan pandemik COVID-19. Disebabkan sudah terlambat, doktor mendapati jantung tidak berada dalam baik. "Saya diberitahu, gerakan jantung tidak stabil. Akibat kegagalan berfungsi dengan baik, doktor sudah menutup bahagian itu. Jadi, jantung yang berkerja hanya bahagian bawah dengan kombinasi bateri. "Jantung bahagian atas kurang berfungsi kerana iramanya sudah tidak sama dengan bahagian bawah. Disebabkan itu, ia sudah tidak boleh digunakan," katanya kepada BH Online. Susulan itu, pelakon filem Santau dan Jin Notti itu berkata, dia dimasukkan ke Unit Penjagaan Koronari (CCU) akibat kaki dan pehanya mula membengkak pada 3 Oktober lalu. "Ketika doktor melakukan proses membetulkan jantung, ada sesuatu dimasukkan menerusi bahagian peha. Kemudiannya, kaki dan peha mula membengkak selepas enam jam. "Ia menjadi kes panik kerana saya terlalu sakit. Jadi, doktor terpaksa menempatkan saya dalam wad CCU. Jadi, sehingga hari ini, saya masih ditahan di sini. "Saya pun tidak bergerak, masih atas katil. Bagaimanapun, pemeriksaan hari ini (semalam), doktor mengatakan bengkak pada bahagian kaki dan peha sudah mula surut. "Cuma kena pantau sedikit lagi sebelum dipindahkan ke wad biasa. Doktor risau, arteri pada bahagian jantung ada jangkitan kuman atau sebagainya, jadi saya kena duduk di CCU, buat sementara waktu," katanya. Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman turut memohon orang ramai mendoakan kesihatan agar cepat sembuh dan dibenarkan pulang ke rumahnya di Kota Bharu, Kelantan dengan segera. Bagaimanapun, tambah Bob, isterinya kini berada di Alor Setar dan menetap di inap desa berdekatan. "Isteri ada di 'homestay' kerana menemani saya memandu ke Alor Setar. Dia menunggu saya keluar hospital untuk kami pulang bersama. "Insya-Allah, semoga saya cepat sembuh dan boleh keluar hospital segera," katanya. Bob berkata, dia perlu menjalani pemeriksaan berkala susulan masalah jantung di HSA. "Saya akur keadaan kesihatan tidak sepenuhnya pulih, ada masa sihat dan sakit," katanya. Terdahulu, Bob mengalami masalah jantung selamat menjalani pembedahan membetulkan degupan jantung iaitu Cardiac Resynchronization Therapy & Defibrillator (CRTD) di HSA, awal Disember tahun lalu. -CARI Sumber: Berita Harian
|
Lagubestbest replied at 7-10-2021 04:54 PM
eish baru 57 dah sakit teruk mcm ni. harap allah beri I masa lebih panjang sihat walafiat.
ADVERTISEMENT