Seorang wanita digelar 'Doktor Barbie' dan mengaku sebagai pakar pembedahan plastik, Olgica Markanovic didakwa kerana melakukan pembedahan tanpa lesen bersama rakannya yang dikenali sebagai Jasmina T.
Daily Star melaporkan, seorang daripada mangsa wanita memberitahu mahu mengubah hidung dan membesarkan matanya, tetapi sebaliknya wajahnya terbakar serta tidak dapat membuka mata selama tujuh hari. Markanovic ditangkap di sempadan antara Serbia dan Croatia pada 1 Jun lalu selepas sejumlah mangsa melaporkan kepada pihak berkuasa apabila mengalami kecederaan akibat 'pembedahan' dilakukan wanita itu. Ini adalah percubaan kedua pihak pendakwa untuk perbicaraan selepas yang pertama ditangguhkan kerana ketiadaan Jasmina T yang melahirkan anak. Pendakwa meminta hukuman penjara tiga tahun untuk Markanovic dan hukuman penjara setahun untuk rakannya, Jasmina T.
Markanovic didakwa melakukan prosedur kosmetik tidak berlesen kepada sekurang-kurangnya 11 individu antara Mei 2020 hingga Mac tahun ini. Dia didakwa menggunakan 'pen plasma' kepada pelanggannya menyebabkan kerosakan kekal pada wajah mereka dalam bentuk luka bakar tahap kedua dan ketiga, menurut media tempatan, Telegraf. Wanita itu mendakwa penggunaan 'pen plasma' bukan alatan perubatan, tetapi khusus untuk kosmetik dan dia mempunyai sijil untuk menggunakan alat itu. Dia dilaporkan berkata, sebarang kecederaan yang dialami pelanggan disebabkan kegagalan mereka untuk mematuhi arahan ketat untuk pemulihan seperti mengelakkan penggunaan tanning bed atau mendedahkan kulit kepada cahaya matahari. Sekurang-kurangnya 11 lelaki dan wanita mengemukakan aduan pada Mac lalu terhadap suspek yang mendakwa mereka sudah cacat selepas menjalani prosedur haram itu di salunnya di ibu kota Serbia, Belgrade. Seorang mangsa lelaki yang namanya tidak didedahkan mengatakan kepada media Croatia, Blic mendakwa Markanovic memperkenalkan dirinya sebagai 'Presiden Estetika'." "Dia memperkenalkan dirinya kepada teman wanita saya sebagai doktor yang berkelayakan," katanya. Seorang mangsa lain yang juga tidak disebutkan namanya memberitahu laman berita Croatia, Jutarnji, dia pergi ke salun suspek untuk mengubah hidung menjadi mancung dan membesarkan mata, tetapi sebaliknya melecur di seluruh mukanya. Dia menambah, selama tujuh hari, dia hampir tidak dapat membuka matanya dan selama beberapa bulan, makan dan minum menjadi sangat menyakitkan kerana bekas luka di wajahnya. Walaupun 11 tuntutan mahkamah diajukan terhadap suspek, dia dikhabarkan merawat lebih 20 orang yang semuanya mengalami kecederaan perubatan. Sumber: Harian Metro
|
cmf_premierleag replied at 7-10-2021 11:16 PM
burukjah rupa doktor barbie nih
celah mana la cantiknya
ADVERTISEMENT