Mulai menyertai pertandingan nyanyian kanak-kanak, Idola Kecil, namun penyanyi Farisha Iris, 22, masih merangkak membina nama dalam sedekad bergelar penyanyi.
Tidak pernah menyesali takdir yang tertulis buatnya, Farisha atau nama sebenarnya, Farisha Asmadi sedar, setiap penyanyi berdepan laluan tersendiri untuk membuktikan bakat yang dimiliki. Namun, penyanyi yang mencuri perhatian selepas menyertai program realiti, Big Stage musim ketiga, tahun lalu itu tidak pantas mengalah. "Saya yakin pasti ada sinar di hujung terowong apabila tidak berputus asa untuk terus berjuang. "Saya tidak pernah menyesali takdir biarpun ramai beranggapan saya masih merangkak walaupun sudah 10 tahun bergelar penyanyi.
"Inilah liku-liku yang perlu dilalui, jadi saya tidak boleh cepat menyerah. Saya akan terus berjuang demi mencapai kejayaan yang boleh dibanggakan untuk diri sendiri, keluarga dan peminat yang menyokong," katanya kepada BH Online.
Lebih manis, naib juara program Idola Kecil musim keempat itu membolosi pencalonan awal bagi kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 selepas hampir 10 tahun bakatnya dipandang sepi. Penyanyi yang baru muncul dengan single keempat berjudul Hello terbitan Nova Music dengan kerjasama Seventeen Eleven Music itu tidak meletakkan harapan menggunung.
"Saya melihat ada usaha kecil, namun ia lebih bermakna apabila dilakukan kelab peminat, Farisha Iris Squad. Begitu juga kelompok peminat dan pengikut dalam media sosial. "Andai tertulis bukan rezeki gagal menembusi senarai Top 5 atau menang, ia bukanlah pengakhiran. "Namun, saya tentunya berharap ada kejayaan yang dicapai selepas sekian lama mencuba nasib. Nasib untung seseorang kita tidak mampu menduga," katanya penuntut pengajian Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam, UiTM, Shah Alam. Farisha berkata, dia banyak menghabiskan masa bersama keluarga, selain sibuk dengan pengajian dalam talian ketika pandemik COVID-19 menular.
"Saya tinggal bersama keluarga. Jadi, tidak terasa kosong ketika pandemik COVID-19 mula menyerang sejak hampir dua tahun lalu. "Selain sibuk dengan pengajian dalam talian, saya mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah termasuklah menyertai kelas mengaji," katanya. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|