Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al-Maktoum didakwa menggunakan perisian pengintipan bagi menggodam telefon bimbit milik bekas isterinya, lapor AFP.
Mahkamah Tinggi Britain memaklumkan telefon bimbit milik Puteri Haya Al-Hussein, 47, termasuk milik peguam dan individu lain digodam menggunakan perisian pengintipan Pegasus keluaran firma teknologi Israel, NSO Group semasa perbicaraan kes hak penjagaan anak selepas pasangan itu bercerai. Sheikh Mohammed Rashid, 74, yang merupakan Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) memberikan ‘kuasa tersurat atau tersirat’ miliknya agar telefon tersebut digodam dengan perisian bernilai jutaan pound yang hanya tersedia untuk pemerintah negara. Hakim Andrew McFarlane menyimpulkan Sheikh Mohammed Rashid menggunakan apa sahaja kemudahan negara bagi melaksanakan apa yang dirasakan betul. Sebanyak enam telefon bimbit dilaporkan cuba digodam menggunakan perisian yang mampu menjejak lokasi individu serta membaca mesej dan e-mel. “Beliau melakukan penganiayaan dan intimidasi sejak bekas isterinya berlepas ke England,” katanya. Pasukan perundangan Puteri Haya memberitahu mahkamah, wanita itu hidup dalam ketakutan selain bimbang tentang keselamatan anak-anaknya sejak meninggalkan Dubai. Wanita itu terpaksa melarikan diri ke London pada 2019 bersama dua anaknya, Al-Jalila, 13, dan Zayed, sembilan. Selepas Sheikh Mohammed Rashid memohon dua anaknya dipulangkan ke negara Teluk itu, Puteri Haya yang merupakan bekas isteri keenam memohon perlindungan mahkamah. Bilionair UAE itu menafikan sebarang dakwaan penggodaman tersebut dan peguamnya memaklumkan negara lain bertanggungjawab memalukan dirinya. Beliau sebelum ini tegas membantah tuntutan yang dibuat oleh bekas isterinya mengenai kebajikan anak-anak mereka di mahkamah. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT