Penyanyi dan anggota kumpulan K-Clique, Noki tidak ralat biarpun perkongsian gambar dia tidak berbaju di media sosial mengundang pelbagai reaksi. Noki atau nama sebenarnya, Ahmad Ikhwan Aji, 27, berkata, setiap individu mempunyai pendapat sendiri.
Katanya, dia mengambil positif mengenai kehendak wataknya yang memerlukannya untuk menayangkan badan dalam drama Oh My Bodyguard arahan Suhaimi Lua. "Terpulang kepada semua pihak untuk membuat tafsiran mengenai perkara itu. Jika diikutkan, saya tidak memuat naik gambar yang terlalu menayang badan. "Saya sendiri tidak tahu bagaimana boleh tersebar gambar-gambar di lokasi penggambaran itu. Ada yang dimuat naik oleh orang luar, ada juga dalam kalangan kru produksi sendiri. "Saya sendiri bekerja keras untuk mendapatkan tubuh begini. Saya berharap secara tidak langsung memberi inspirasi kepada mereka di luar sana. Saya melakukan senaman dan mengawal pemakanan selama 10 bulan untuk mendapatkan bentuk badan begitu.
"Jika ada yang memuji, terima kasih saya ucapkan. Jika ada yang merasakan ia keterlaluan, saya minta maaf," katanya. Dalam drama itu, Noki membawa watak sebagai Mail yang ingin berkahwin dengan kekasihnya, Mira lakonan Elisha Sandha. Noki berkata, menjalani penggambaran yang kadang-kadang bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam memberi banyak pengalaman buatnya.
|
ADVERTISEMENT