Menerobos masuk ke platform bertaraf antarabangsa, Netflix, filem Frontliner pada asalnya membuahkan rasa bangga kerana dilihat berjaya berada setempat dengan naskhah-naskhah filem luar negara lain.
Bagaimanapun, entah mengapa, sejak penayangannya di platform berkenaan sekitar awal minggu lepas, terdapat banyak pula respons negatif penonton yang menganggap penyampaian Frontliner tidak ‘sampai’ ke tahap patut diletakkan di Netflix. Secara kasar, mereka menganggap ia merupakan sebuah filem murahan, kelas bawahan selain disifatkan begitu ‘sampah’ oleh penonton meski dilihat cuba menjual nama beberapa aktor gred A yang membintanginya. Bercakap dengan pengarah filem tersebut, Razif Rashid (Ajiboy), Pancaindera meneka, pihaknya juga sudah sedia maklum dengan situasi tersebut yang kini bertebaran di dunia media sosial.
Berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang seni, Ajiboy mengaku dirinya terbuka kepada pandangan dan kritikan. Namun tidak adil jika cuma kritikan netizen sahaja ditularkan. Penonton juga berhak mendengar sisi penjelasannya. Tuduhan sebagai filem ‘sampah’ oleh netizen, apa komen anda sebagai pengarah? Sebagai pembikin, saya tak berkecil hati malah bersyukur sebab mereka tengok apa yang saya buat. Sebagai manusia pula, saya ini tak boleh nak puaskan hati semua orang. Ada yang mengutuk dan memuji. Ada racun, ada penawar, ada gula, ada garamnya. Bagi saya, bagus untuk orang bercakap baik dan buruknya sesebuah karya itu sebab sebagai pembikin filem, kita akan tetap berusaha melakukan yang terbaik selepas ini. Saya pun tak sangkal mereka dan siapalah kita untuk memaksa penonton percaya apa yang kita lalui? Kekangan banyak semasa buat filem ini dan adakala visual imaginasi yang kita inginkan, memang nak buat macam apa penonton mahu. Tapi kita tak mampu dan tak akanlah nak berhenti sekerat jalan? Sebelum filem ini dikeluarkan pun, kita sudah maklumkan, ada banyak kekurangan tetapi teruskan kerana ini naskhah sumbangan untuk raikan petugas barisan hadapan. Bagaimana pula dengan beberapa babak tidak logik yang didakwa penonton, seperti Farah Ahmad membawa dulang melalui jeriji pintu yang diperkatakan ramai itu? Saya tahu, ada yang kata tak logik. Termasuk babak Beto tidur berkhemah di luar rumah. Memang perkara itu pernah wujud dan tular seorang anggota polis tidur di luar rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 1 dulu. Pasal dulang makanan itu pula, kita pun semasa penggambaran ada berbincang sama ada nak letak di bawah atau bagaimana. Tapi dalam dunia ini, tak ada yang sempurna. Kalau letak cawan atas meja, tak semua orang pegang telinga cawan itu semasa nak angkat, betul?Babak itu menunjukkan Beto sebolehnya tak nak pegang jeriji sebab keadaannya semasa itu. Yang mana faham, fahamlah, Nak kutuk, kutuklah. Masing-masing ada pendapat. Perspektif kita berbeza. Skrip didakwa begitu teruk, seolah-olah sedang menonton drama pukul 7 petang tetapi diletakkan sebagai filem, komen anda? Asalnya filem ini adalah dua jam tapi suntingan hasil akhir dibuat menjadi satu jam setengah. Apabila ia dipendekkan, tentulah akan ada kepincangannya sedikit sebab kita masukkan apa yang penting sahaja dalam filem. Bagi saya, jalan penceritaan filem ini sangat lurus. Saya mendokumentasikan apa yang sedang berlaku semasa pandemik. Bukan cerita rekaan. Ia tak akan sehebat filem Avengers atau Marvel Studios tapi ini yang cuba kita hidangkan. Satu lagi, Netflix terima filem ini pun satu perkara mengejutkan saya kerana platform itu mementingkan faktor kawalan kualiti tinggi. Kalau filem ini sangat teruk, maksudnya Netflix pun teruklah sebab pilih filem ini. Kalau begitu, jangan bantai saya, bantailah Netflix. Mestilah ada sebab mereka terima filem ini. Achey dikatakan tidak patut ada dalam filem ini? Betulkah sebab dia memiliki pengikut berjuta lalu dijadikan ‘umpan’ memancing penonton? Pelakon yang saya ambil semuanya berbakat. Saya tak tengok pun jumlah pengikut kerana bagi saya Achey berlakon tidaklah teruk mana. Beto pun puji dia. Watak Achey dalam filem ini serius sedangkan dia seorang pelawak. Sebagai artis, mestilah dia nak cuba sesuatu berbeza dan terima tawaran kami. Sebenarnya, filem ini macam projek kawan-kawan. Maksud saya, semasa penerbit nak hasilkan Frontliner, kami semua berbincang dan tanya pada kawan-kawan yang sedang berkelapangan dan nak menjayakan sumbangan ini. Achey kita beri peluang untuk terbabit sama dan dia buktikan kemampuannya berlakon. Disebabkan filem Frontliner, kononnya ada mahu melancarkan gerakan memboikot filem Melayu? Di Netflix, ada banyak lagi cerita lain yang boleh penonton pilih. Saya dah sebut, kita punya modal pun tak besar namun cuba sedaya upaya untuk hasilkannya untuk meraikan petugas barisan hadapan. Saya pernah bertelagah di media sosial dengan seorang pengguna yang mengatakan ini bukan soal bajet, tapi soal idea dan kreatif. Fikir logiklah, awak nak gajikan orang berbakat, awak kenalah bayar dengan harganya, betul tak? Yang komen, kritik itu pun saya tengok, mencari makan dengan cara itu. Saya cari makan dengan cara saya ini, jadi sama-samalah kita bersyukur. Usahlah keterlaluan dalam berkata-kata. Apa pandangan bila ada segelintir artis turut mengutuk filem ini, sepatutnya tidak merendahkan karya orang lain? Kadang-kadang, orang bercakap sama ada mereka tidak berpuas hati atau kerana tiada peluang seperti apa yang kita dapat. Ia melambangkan keperibadian masing-masing. Pengkarya senior atau lama dalam bidang ini, kita tengok tak ada pun buat begini. Nak bersatu lagi ada. Saya sudah lama dalam industri ini, sejak zaman gulung kabel, zaman mekanikal beralih kepada digital. Saya tak letak harga pun pada penerbit semasa mengarahkan filem ini. Berapa yang dia bayar, itulah yang saya terima sebab fikir ini adalah naskhah sumbangan. Penggambaran pun dibuat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Masa itu, ramai kru belakang tabir terkesan. Bukan semasa PKP, tapi sebelum PKP lagi tak ada kerja. Macam mana nak tolong? Tak akan nak bagi pinjam duit, kita kena jaga air muka mereka. Jadi tercetusnya idea untuk buat filem ini dan sekurang-kurangnya kru terlibat ada gaji. Perlulah saya ingatkan biar beradab, jangan biadab. Sesiapa pun nak kritik, boleh. Tapi jangan memprovokasi. Saya pernah dipanggil anjing kerana ada tak puas hati dengan karya yang dihasilkan. Mana adab? -CARI Sumber: Utusan Online
|
Nana_Man replied at 11-10-2021 11:25 AM
Cerita nya pendek sgt. Mgkn kalau panjang sikit ok lah.
Ni komen kawan2 aku:
Nana_Man replied at 11-10-2021 11:25 AM
Cerita nya pendek sgt. Mgkn kalau panjang sikit ok lah.
Ni komen kawan2 aku:
pxlbb replied at 11-10-2021 12:49 PM
Memang tahap sampah! Tak sampai 7 minit tengok aku tak mampu nak mensia-siakan hidup yang singkat ni ...
ADVERTISEMENT