CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Selebriti Tempatan Lihat artikel

Vivy dan suami, Fadzaruddin mohon maaf kepada pelabur. Letak jawatan dalam FashionValet

2-11-2024 10:27 AM| Diterbitkan: CARI-MAL| Dilihat: 4| Komen: 0

 


Usahawan fesyen, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, akan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd (FashionValet).

Dalam kenyataan bersama yang dimuat naik menerusi akaun Instagram mereka malam ini, pasangan berkenaan berkata, ketetapan itu dibuat susulan isu terkini membabitkan penjualan saham Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dalam syarikat itu.

Mereka berkata, ia antara lain bagi mengelak isu itu terus menjejaskan syarikat yang kini dalam fasa pemulihan.

Vivi dan Fadzaruddin turut memohon maaf susulan kontroversi berkenaan yang menjejaskan PNB dan Khazanah.

Vivy berkata, kegagalan berpunca tindakan mereka yang membuat pelaburan terlalu banyak ke dalam sistem teknologi dan memperbesarkan pasukan dengan terlalu cepat.

Katanya, kegagalan itu juga terjadi susulan pembukaan terlalu banyak kedai runcit fizikal selepas menjangkakan kemajuan berterusan namun menerima tamparan hebat semasa pandemik melanda.



"Kami cuba sedaya upaya menjimatkan perbelanjaan untuk menjaga aliran tunai termasuk menutup platform e-dagang namun keadaan terus meruncing.

"Banyak perkara yang kami mahu ubah jika boleh, banyak faktor lain kami harap kami pertimbangkan sebelum mengembangkan perniagaan ini.

"Mereka (PNB dan Khazanah) sentiasa bertindak secara profesional dan dalam kepentingan terbaik organisasi masing-masing.

"Kami berharap kekecewaan ini tidak menjadi penghalang dan mereka akan terus menyokong usahawan tempatan lain.

"Kami akan bertanggungjawab atas kegagalan pelaburan ini. Sebagai pihak yang mengurus syarikat, tanggungjawab ini terletak pada kami dan hakikatnya kami sudah mengecewakan pelabur," kata kenyataan itu.

Semalam, PNB dan Khazanah dilapor perlu memberi penjelasan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dalam FashionValet.

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil, dilaporkan berkata, rakyat membangkitkan persoalan mengenai kerugian itu hingga pelbagai kandungan berkaitan dimuat naik di media sosial.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.

Sementara itu, Vivy dan Fadzaruddin mengakui tidak memiliki perancangan mencukupi untuk FashionValet berdepan risiko cabaran ketika cuba mengembangkan perniagaan secara agresif.

Mereka mengakui melakukan kesilapan dengan mengembangkan perniagaan berdasarkan jangkaan pertumbuhan berterusan, biarpun ketika pandemik COVID-19.

"Kami kecewa dengan diri sendiri, selain menyesal keadaan menjadi seperti ini dan benar-benar memohon maaf. Ramai bertanya apa yang berlaku dan bagaimana kami boleh sampai ke tahap ini. Keadaan menjadi kritikal biarpun kami cuba mengurangkan kos termasuk menutup platform e-dagang.

"Banyak perkara yang kami harap dapat dilaksanakan secara berbeza, selain pelbagai faktor lain yang diharap dapat dipertimbangkan sebelum memulakan rancangan pengembangan kami.

"Kami secara peribadi terus menampilkan imej positif dan penuh harapan, berharap ia akan menanam keyakinan terhadap jenama dan produk kami," katanya.

Sumber – Berita Harian

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

6-12-2024 10:43 AM GMT+8 , Processed in 0.024408 second(s), 10 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top