Tasha Shilla, 38, mengakui dia kini lebih selektif untuk menerima tawaran berlakon selepas bergelar isteri dan ibu kepada dua anak yang masih kecil.
Tasha atau nama sebenarnya Natasha Shiela Abdul Razak yang sudah lima tahun berehat berkata, dia juga terpaksa menolak banyak tawaran berlakon sebelum ini kerana memberi tumpuan kepada rumah tangga.
"Sebagai pelakon, komitmen di lokasi penggambaran juga sangat tinggi. Jadi, sebagai ibu kepada dua anak yang masih kecil, saya juga perlu utamakan tanggungjawab kepada keluarga terlebih dahulu.
"Tapi saya sempat berlakon dalam satu projek Telefilem berjudul Ayahanda pada Ramadan yang membabitkan tempoh tujuh hari di lokasi penggambaran," katanya kepada Harian Metro.
Ditanya sama ada dia meletakkan syarat pada pihak produksi pula, kata Tasha, dia lebih selektif dari segi watak ketika ini kerana mahu memberi ruang kepada ramai pelakon berbakat di luar sana.
Pada masa sama, katanya, suami juga tidak pernah menghalang untuknya kembali dalam bidang lakonan pada tahun ini.
"Sebagai ibu, saya percaya tidak wajar untuk meninggalkan dua anak yang masih kecil dalam jangka masa yang terlalu panjang kerana sibuk di lokasi penggambaran.
"Mungkin peranan dan sokongan dari pihak produksi untuk memberi saya waktu lakonan yang lebih fleksibel sesuai dengan status saya sebagai ibu," katanya.
Mengulas dari segi imej pula, kata Tasha, dia juga menolak untuk tampil dengan imej seksi seperti sebelum berkahwin dulu.
Dari segi skrip pula, kata Tasha, dia memilih watak yang mempunyai mesej dan memberi pengajaran kepada penonton.
"Saya mahu lakonkan watak yang positif dan memperkasakan kaum wanita. Contohnya, watak gadis bisu yang bercita-cita untuk bermain biola dalam drama Biar Biola Berbisik sebelum ini.
"Walaupun ada kekurangan, gadis bisu itu tidak putus asa dan yakin untuk mengejar impian hidupnya," katanya.
Tasha berkahwin dengan pakar kewangan, Muhammad Atiq Idris pada 28 Februari 2020 dan dikurniakan dua anak iaitu Raees Zander, 4 dan Nyla Kaadira, 3.
Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|