Pelakon Muaz Fitri, 34, mengaku dia takut serta mengelak daripada mengambil tahu dan membaca berita berkaitan keruntuhan rumah tangga pasangan selebriti yang dilaporkan media.
Muaz atau nama sebenarnya, Muaz Aidil Fitri Maslan berkata, tiada pasangan berkahwin yang mahu berakhir dengan perpisahan dan menyifatkan komunikasi dua hala bersama pasangan sangat penting.
"Saya dapati banyak berita berkaitan kemelut rumah tangga selebriti dilaporkan media dan diakui saya sangat takut untuk membacanya. Malah, saya bersimpati dengan mereka (selebriti) yang menghadapi situasi itu.
"Bagi saya sendiri, rasanya tidak kuat untuk menghadapinya (kemelut rumah tangga) kerana siapa yang berkahwin ingin berpisah? Sebab itu, saya selalu ingatkan isteri agar jangan simpan apa-apa masalah dalam hati. Beritahu terus kalau ada yang tak kena.
"Komunikasi antara suami isteri sangat penting dalam rumah tangga. Apatah lagi, bagi saya segelintir lelaki agak 'lembab' untuk sedar masalah. Jadi, kepada isteri diingatkan usah berdiam diri dan luahkan," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Muaz lagi, tidak ada hubungan suami isteri yang sempurna termasuk dia dan isterinya, Qaseh Anita Abd Shukor, 50 yang berbeza usia kira-kira 16 tahun.
"Saya juga tidak peduli dengan apa yang orang nak kata. Malah, ketika bersiaran langsung dengan isteri di TikTok, saya layankan saja apa yang ditanyakan oleh netizen tanpa perasaan marah.
"Kalau rasa nak jawab, saya jawab saya tanpa ada rasa malu. Lagi pula, kenapa saya nak rasa malu? Pernikahan dengan isteri adalah pilihan saya dan tiada paksaan daripada sesiapa pun," katanya.
Terdahulu, Muaz dan Qaseh selamat bernikah pada 26 April tahun lalu di Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, sempena tarikh lahir mereka yang sama, meski berlainan tahun.
Qaseh yang juga merangkap pengurus Muaz sejak 2018, sebelum itu berstatus ibu tunggal dua anak daripada perkahwinan lalunya dan kini mereka bahagia mempunyai dua cucu.
Bagi karier seni lakonan pula, Muaz sudah membintangi drama seperti Misiku Kuza, Baby Ana Milik Siapa, Seharum Kasih, Aurora Aisyah, Lara Syakila, Origami, Dosa Semalam, Cari Aku Di Syurga, Takdir Yang Tertulis, Badai Semalam dan Canting.
Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|