CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Inkues Zara Qairina: 'Ada cakap-cakap tuduh Zara curi wang rakan' - Saksi

14-9-2025 08:50 AM| Diterbitkan: CARI-MRO| Dilihat: 1747| Komen: 0

 


KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini, hari ini diberitahu wujud cakap-cakap dalam kalangan pelajar sekolah yang mendakwa Zara Qairina Mahathir mencuri wang rakannya, sebelum kematian pelajar Tingkatan Satu itu.

Pengawal Keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, berkata beliau hanya mendengar 'cerita curi' itu daripada pelajar sekolah berkenaan selepas kejadian terbabit.

Ibu kepada empat anak yang bertugas di sekolah berkenaan sejak 2012, berkata demikian ketika menjawab soalan peguam keluarga Zara Qairina, Shahlan Jufri, pada hari ketujuh prosiding inkues.

Shahlan: Untuk kejadian kes Zara ini, ada puan dengar apa-apa cerita di sekolah daripada budak-budak?

Linah: Selepas kejadian itu, memang ada dengar… budak-budak cakap, disebutnya Zara ini dituduh mencuri.

Saksi keenam inkues kematian Zara Qairina itu berkata, seorang pelajar perempuan dikenali sebagai A, menemuinya di kawasan jemuran pakaian sehari sebelum insiden itu dan memberitahu wang berjumlah RM300 serta kad bank di dalam beg sekolahnya hilang.


"Pelajar A tidak menyebut siapa yang dia tuduh. Selepas kejadian, barulah saya dengar… rupa-rupanya Zara dituduh mencuri duit pelajar A," katanya.

Shahlan: Puan, pelajar A ada jumpa puan pasal tuduhan curi ini?

Linah: Dia cakap, 'Aunty, duit saya hilang dalam beg sekolah'. Saya tanya kenapa tidak beritahu pengawal siang hari, dia jawab dia diam sahaja. Kemudian saya tanya berapa banyak duit hilang, dia kata RM300 dengan kad bank sekali. Saya tanya lagi, kenapa bawa duit banyak, sepatutnya simpan dengan guru… tapi dia tidak cakap siapa yang curi.

Apabila ditanya, kenapa hanya Zara Qairina yang dituduh, Linah menjawab" "Saya tidak tahu."

Linah berkata, pelajar A mengadu perkara itu kepada pelajar tingkatan empat kerana semua bilik yang dihuni pelajar tingkatan satu di aras tiga bangunan asrama itu, adalah di bawah jagaan pelajar tingkatan empat.

Saksi berkata, beliau tidak tahu apa yang dilakukan pelajar tingkatan empat selepas wujudnya tuduhan curi itu, namun saksi tidak menolak kemungkinan pelajar tingkatan empat memanggil Zara Qairina untuk bertanya mengenai perkara berkenaan.

Menceritakan lebih lanjut, Linah berkata, perkara itu kemudian diketahui seorang warden lelaki menerusi ketua dorm Zara Qairina, yang juga pelajar tingkatan empat.

Linah berkata, beliau tidak pernah mendengar cerita lain mengenai Zara Qairina, selain tuduhan curi.

Prosiding hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung jam 2.15 petang.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai.

Dia dimasukkan ke hospital berkenaan sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan pihak polis, manakala sebelum itu pada 8 Ogos AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan. 

Sumber – BERNAMA

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

8-6-2026 12:57 PM GMT+8 , Processed in 0.510052 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top