|
Pelakon Diana Rafar, 44, mengimbau pengalaman pernah bercerai seketika dengan suaminya, Zamarul Hisham, 55, pada 2015, namun mereka rujuk semula sebulan kemudian.
Pemilik nama sebenar Adiana Abdul Rafar ini berkata, dalam hubungan suami dan isteri, memang ada pasang surut serta perlu bersedia berhadapan apa sahaja dugaan dengan matang. "Kepada pasangan baru berkahwin terutamanya, saya mengingatkan agar tidak terlalu meletakkan keindahan penuh dalam perkahwinan semata-mata. "Ini kerana, kita tidak tahu apa akan berlaku nanti dan seharusnya bersiap sedia. Apabila ujian dalam hubungan datang tiba-tiba, sekurang-kurangnya kita tidak rasa begitu kecewa hingga tertekan. "Kita pun sebenarnya tak boleh terlalu berharap pada kebahagiaan saja. Perkara sebeginilah yang akan jadi penyebab kemurungan dan kita rasa sukar untuk terima realiti," katanya ditemui media pada majlis iftar di Rumah Lauk, Shaftsbury Putrajaya, di sini, kelmarin. Kata Diana lagi, dia turut selesa mengambil pendekatan bermuhasabah dan memperbaiki diri sendiri terlebih dulu sebelum meletak harapan perubahan kepada pasangan semata-mata. "Keharmonian dalam rumah tangga ini bukan sahaja bergantung kepada prinsip 'give and take', tetapi kita juga perlu mencintai diri sendiri terlebih dulu, berdoa serta menyerahkan semua kepada Allah. "Saya pun pernah ada pengalaman berkahwin dan berpisah sementara dengan suami. Jadi, ujian dilalui itu sangat mengajar saya cara bagaimana hendak nikmati bahagia sekarang. "Mencintai Allah lebih dari segala-galanya adalah paling utama, kemudian baru suami. Selain itu, refleksi diri dan jangan terus cari kesalahan pasangan," jelasnya. Menurut pelakon filem Susuk ini, tidak salah juga untuk cuba berubah sikap demi menarik semula aura positif dalam rumah tangga kerana kebanyakan masalah dalam rumah tangga berlaku akibat ego. "Apabila kita fokus untuk ubah diri sendiri, secara automatik aura positif kita akan tarik aura positif pasangan. Kalau kita amalkan cara ini, insya-Allah masalah yang tiada penyelesaian boleh dielak," katanya. Terdahulu, Zamarul dan Diana berkahwin pada 16 Mei 2009 di mana mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Kashfi Haiqal, 16, Kayla Reysha, 9, dan Kaydeen Haiqal, 6. Zamarul juga menerusi perkahwinan pertama dengan bekas isteri memiliki seorang anak lelaki, Izzat Haiqal yang sudah bernikah pada Februari 2023. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
15-3-2026 12:59 AM GMT+8 , Processed in 0.034811 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.