CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Indonesia tetapkan had kenaikan tambang pesawat domestik sehingga 13 peratus

7-4-2026 02:10 PM| Diterbitkan: CARI-MAL| Dilihat: 442| Komen: 0

 



Jakarta: Indonesia mengehadkan kenaikan tambang penerbangan domestik antara sembilan hingga 13 peratus untuk memastikan tiket mampu dibeli oleh orang ramai susulan pengenalan langkah untuk mengurangkan tekanan kos ke atas syarikat penerbangan berikutan lonjakan harga bahan api jet.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto berkata, langkah itu dibuat akibat kenaikan dalam harga bahan api turbin penerbangan (avtur) di tengah-tengah perkembangan geopolitik dan geo-ekonomi global yang terus memberi tekanan, dengan bahan api menyumbang kira-kira 40 peratus daripada kos operasi syarikat penerbangan.

"Avtur adalah bahan api tanpa subsidi dengan harganya mengikut perkembangan pasaran, dan sudah tentu, jika kita tidak membuat pelarasan, banyak syarikat penerbangan akan mengambil kesempatan daripada perbezaan harga.

"Oleh itu, kerajaan sedang menyediakan langkah mitigasi strategik supaya harga tiket kekal berpatutan untuk orang ramai. Apa yang kami sasarkan adalah untuk mengekalkan harga tiket," katanya pada sidang media, semalam.

Airlangga menjelaskan setakat 1 April, harga avtur di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta mencecah sekitar 23,551 rupiah seliter, manakala di Thailand lebih kurang 29,518 rupiah dan di Filipina pada 25,326 rupiah. (100,000 rupiah = RM23.62)

Langkah ini merangkumi tanggungan cukai nilai tambah (VAT) 11 peratus oleh kerajaan ke atas tiket domestik kelas ekonomi, yang akan dilaksanakan dengan subsidi dianggarkan kira-kira 1.3 trilion rupiah sebulan.

Bagi menampung kenaikan kos, katanya, Kementerian Pengangkutan menaikkan surcaj bahan api kepada 38 peratus, berdasarkan had tarif atas yang ditetapkan pada 2019 serta digunakan secara seragam untuk pesawat jet dan kipas.

Beliau berkata, surcaj itu sebelum ini berjumlah 10 peratus untuk pesawat jet dan 25 peratus untuk pesawat kipas.

"Polisi surcaj bahan api dan VAT yang ditanggung oleh kerajaan akan dilaksanakan selama dua bulan selaras dengan program yang diumumkan sebelum ini dan akan terus dinilai bergantung kepada perkembangan geopolitik serta konflik di Timur Tengah," katanya.

Selain itu, kerajaan memberikan kelonggaran kepada Pertamina dalam urusan pembayarannya dengan syarikat penerbangan melalui terma perniagaan ke perniagaan.

Sumber : Harian Metro


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

16-4-2026 09:58 AM GMT+8 , Processed in 0.143701 second(s), 29 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top