CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Gaya Hidup Lihat artikel

Normalisasi layan pornografi merosak jiwa orang muda

17-6-2026 10:47 AM| Diterbitkan: CARI-MAL| Dilihat: 203| Komen: 0

 



PELAJAR Tingkatan Enam ditahan polis selepas disyaki menyimpan ribuan video dan gambar pornografi termasuk kandungan membabitkan kanak-kanak di Kuching, Sarawak pada April lalu.

Seorang pemuda berusia 22 tahun pula dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan memiliki lebih 8,000 bahan pornografi dalam telefon bimbit dan peranti elektronik miliknya.

Jelas di sini, penggunaan media sosial secara meluas pada masa kini tidak disangkal lagi membawa banyak manfaat, namun pada masa sama gejala sosial juga semakin ketara.

Penyalahgunaan internet pada dasarnya ialah penggunaan teknologi digital secara tidak bertanggungjawab, tidak beretika dan melampaui batas.

Pada era media sosial serba maju ini, remaja bukan sahaja terdedah kepada maklumat berguna, tetapi kepada kandungan boleh mempengaruhi fikiran dan tingkah laku mereka secara perlahan-lahan.

Jika difikirkan dengan teliti, masalah ini bukan lagi kejanggalan. Antara isu semakin merisaukan ialah penyebaran kandungan lucah dalam kalangan remaja. Lebih membimbangkan ada yang menganggap perkara itu normal dan sekadar gurauan.

Tetapi benarkah ia sekadar gurauan atau kita sedang menutup mata terhadap bahaya yang boleh merosakkan maruah, emosi dan masa depan mereka.

Satu klik mungkin kelihatan remeh, satu tontonan juga mungkin kelihatan seperti tidak memberi apa-apa impak. Tetapi daripada perbuatan kecil itu, seseorang boleh terjebak dengan kandungan tidak bermoral semakin serius.

Kajian Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati 75 peratus remaja Malaysia pernah menonton video atau melihat gambar lucah.

Sementara itu Laporan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menunjukkan 35.3 peratus remaja pernah terdedah kepada bahan pornografi, majoritinya datang daripada internet.

Angka ini cukup menggambarkan luasnya pendedahan terhadap bahan larangan dalam kalangan remaja hari ini. Jika angka ini terus meningkat, apakah nilai sedang dibentuk dalam diri generasi muda.

Dari sudut perundangan, perbuatan menghantar, menyimpan atau menyebarkan kandungan lucah tanpa kebenaran bukanlah isu remeh.

Mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, individu menggunakan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi secara tidak wajar, termasuk menyebarkan kandungan lucah, palsu, mengancam atau menjelekkan, boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Ia membawa hukuman denda, penjara atau kedua-duanya bergantung kepada tahap dab bentuk kesalahan. Hal ini menunjukkan penyebaran kandungan lucah bukan sahaja salah dari sudut moral, malah kesalahan serius di sisi undang-undang.

Maka, apakah penyelesaian boleh dilakukan. Perubahan perlu bermula dengan kesedaran dalam diri remaja. Mereka perlu memahami pornografi bukan sesuatu yang normal atau sekadar hiburan kerana kandungan seperti ini mampu mempengaruhi emosi, nilai diri dan cara seseorang melihat hubungan.

Apabila sedar kesan buruknya, mereka akan lebih berhati-hati sebelum menekan pautan, menyimpan atau berkongsi sesuatu kandungan.

Pada masa sama, remaja hari ini perlu dibekalkan dengan pendidikan literasi digital menyeluruh. Majoriti melekat dengan media sosial setiap hari, tetapi kurang memahami privasi, jejak digital dan kesan apabila sesuatu kandungan tersebar.

Apa yang dikongsi dalam beberapa saat boleh kekal di internet untuk tempoh sangat lama. Sebab itu, pengetahuan persetujuan, keselamatan digital dan kesan psikologi bukan lagi sekadar ilmu tambahan, tetapi sesuatu yang penting untuk melindungi diri sendiri dalam dunia hari ini.

Platform media sosial tidak boleh terus berdiam diri dalam isu ini. Kandungan lucah dan bahan melanggar batas sepatutnya dipantau dengan lebih tegas dan dipadam lebih cepat sebelum terus tersebar kepada pengguna lain.

Pada masa sama, sistem aduan perlu dibuat lebih mudah supaya pengguna tidak takut atau malas melaporkan kandungan berbahaya.

Jika ruang digital dibiarkan terlalu bebas tanpa kawalan yang jelas, perkara seperti ini akan terus menjadi kebiasaan dalam masyarakat.

Pengaruh rakan sebaya pula sememangnya sangat kuat dalam kehidupan seorang remaja. Apa yang dianggap normal dalam sesebuah kelompok sering mempengaruhi tindakan dan cara berfikir seseorang.

Apabila berkongsi atau menonton bahan lucah dijadikan gurauan harian, ramai mula melihatnya sebagai perkara biasa walaupun ia sebenarnya salah.

Namun, keadaan itu boleh berubah jika rakan-rakan sendiri berani menegur dan menolak budaya berkenaan. Kadangkala, teguran ringkas seorang kawan lebih mudah menyentuh hati kerana datang daripada seseorang dianggap memahami situasi dan emosi mereka.

Kesimpulannya, penyalahgunaan internet melalui penyebaran pornografi bukanlah isu kecil. Ia bukan sekadar soal hiburan, tetapi membabitkan maruah, tanggungjawab dan masa depan generasi muda.

Media sosial sepatutnya menjadi ruang untuk berhubung, menimba ilmu dan membina hubungan yang sihat, bukannya tempat untuk menyebarkan kandungan yang memalukan serta merosakkan.

Jika remaja tidak berhati-hati dari sekarang, mereka mungkin akan mewujudkan generasi yang membesar dengan normalisasi yang salah. Apabila sesuatu yang salah dianggap biasa, pada saat itu masyarakat tersilap langkah tanpa disedari.

Penulis adalah Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa Penyiaran, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Sumber : Berita Harian


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-7-2026 07:55 PM GMT+8 , Processed in 0.058254 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top