Suami Abby Abadi, iaitu Faizal Zakaria mengakui sedih melihat isteri terus berdepan kecaman di media sosial sehingga terpaksa memendam kepedihan ditanggung.
Menerusi hantaran TikTok, Faizal atau mesra disapa Jai menggambarkan Abby sebagai wanita yang memilih menyembunyikan kesedihannya di sebalik senyuman.
"Bila sebut nama Abby Abadi, siapa tidak kenal dan siapa tidak tahu. Dalam pelbagai pujian, terselit cacian. Tetapi, tidak mengapa, sentiasa memaafkan sebab mereka mungkin tidak kenal dan tidak pernah berada dalam lingkungan ini.
"Sayang, saya tahu macam mana remuknya hati dan perasaan sayang. Keluhan yang sentiasa dipendam. Walaupun sentiasa senyum, saya tahu hati sayang sentiasa menangis.
"Luka yang tidak akan pernah hilang parut. Sayang, saya sentiasa doakan sayang hingga akhir hayat saya," tulisnya.
Tidak sanggup melihat isteri terus menanggung kesedihan, Faizal berkata, dia sanggup memikul beban yang ditanggung Abby jika itu mampu mengembalikan kebahagiaan insan tersayangnya itu.
Faizal turut mengakui bimbang jika dia dijemput Ilahi terlebih dahulu kerana memikirkan siapa yang akan sentiasa berada di sisi Abby ketika berdepan dugaan.
"Kalaulah segala beban itu boleh dipindah, saya hendak tanggung. Saya cuma hendak sayang gembira dan tidak bersedih lagi. Saya bukan insan yang nampak hebat di luar tetapi saya tetap menjadi hebat untuk sayang.
"Saya takut kalau Allah panggil saya pulang lebih awal daripada sayang. Siapa yang akan dengar segala apa yang sayang hadapi, sentiasa ada ketika sayang sedih dan memeluk untuk tenangkan sayang.
"Moga anak-anak, Daiyan, Dayana dan Darda menjadi peneman serta penenang sayang di kala sedih nanti. Merekalah pengganti saya," katanya. penuh emosi
Faizal turut berdoa agar segala urusan Abby dipermudahkan dan setiap pengorbanan isterinya itu dibalas dengan ganjaran terbaik.
"Sayang ada saya dan anak-anak. Apabila tiba masanya kita pergi jauh, jom kita hijrah. Ada masanya tempat kita duduk ini sudah tidak sesuai untuk kita," katanya.
Luahan itu dipercayai berkait rapat dengan kemelut hubungan antara Abby dan anak keduanya, Marissa Dania, iaitu hasil perkahwinan dengan bekas suami, Norman Hakim, yang hangat diperkatakan dalam kalangan netizen.
Abby atau nama sebenar, Arbaiyah Abdul Manan, 49, mendirikan rumah tangga dengan Faizal pada Ogos 2015.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|