Kebimbangan peminat terhadap tahap kesihatannya akhirnya terlerai apabila pemain bes Search, Nasir Daud, memaklumkan dirinya masih sihat dan bersyukur terus dikurniakan tubuh yang kuat pada usia 67 tahun.
Nasir yang menetap di Johor Bahru menjelaskan kehadiran rakan seperjuangannya, Man Keedal, ke kediamannya baru-baru ini hanyalah kunjungan biasa memandangkan pemain gitar itu kebetulan berada di bandar berkenaan.
"Kami sudah hampir setahun tidak berjumpa. Kebetulan Man berada di Johor Bahru, jadi dia mengambil kesempatan menziarahi saya.
"Memang menjadi kebiasaan apabila rakan yang sudah lama tidak berjumpa datang ke sini, mereka akan singgah bertemu saya.
"Tetapi apabila gambar dimuat naik di media sosial dengan kapsyen datang menziarah, ramai menyangka saya tidak sihat. Alhamdulillah, saya baik-baik saja," katanya kepada BH Online.
Nasir berkata, dia bersyukur kerana tidak menghidap penyakit tiga serangkai atau sebarang penyakit kronik.
"Alhamdulillah, saya tidak ada penyakit tiga serangkai. Cuma sakit-sakit sendi biasa. Maklumlah, usia pun semakin meningkat.
"Saya bersyukur masih dikurniakan kesihatan yang baik dan masih mampu memandu sendiri ke mana-mana.
"Saya harap peminat terus mendoakan kesihatan saya," katanya.
Berkongsi perkembangan Search, Nasir berkata kumpulan itu masih belum mempunyai sebarang persembahan yang dimuktamadkan selepas konsert di Melaka, kira-kira setahun lalu.
Katanya, beberapa tawaran diterima, namun belum mencapai kata putus.
"Sudah hampir setahun Search tidak mengadakan persembahan. Tawaran memang ada, cuma belum dimuktamadkan.
"Bagi mengisi masa terluang, kami menghasilkan lagu baharu dan memperbaharui susunan lagu lama.
"Dalam masa sama, saya membantu isteri menguruskan perniagaannya," katanya.
Nasir berkata, selain menetap di Johor Bahru, dia juga kerap pulang ke kampung halamannya di Mersing bagi meluangkan masa bersama adik-beradiknya.
"Saya sukakan suasana Mersing yang terletak di persisiran pantai. Saya berasa tenang apabila berada di sana, selain dapat menjenguk adik-beradik.
"Kebetulan mereka menguruskan Milkyway Resort, jadi saya juga sering meluangkan masa di chalet itu," katanya.
Menurut Nasir, setiap kali mempunyai urusan atau persembahan di Kuala Lumpur, dia lazimnya akan menetap di ibu negara antara sebulan hingga dua bulan.
Jika tidak menginap di rumah ahli keluarga, katanya, dia akan tinggal di kediaman sahabat baiknya, Amy Search.
"Ada masanya Amy mengajak saya tinggal di rumahnya supaya kami lebih mudah berbincang, berlatih dan bergerak bersama.
"Kalau ada apa-apa aktiviti, kami lakukan bersama. Lebih mudah untuk berbincang. Apabila selesai semua urusan, barulah saya pulang ke Johor Bahru," katanya.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|