Apatah lagi, menyedari kekurangan diri yang tiada pakej kacak melainkan bersandar sepenuhnya pada bakat anugerah Tuhan semata-mata, Ebby sudah amat bersyukur kerana perjalanan kariernya lancar. Siapa sangka, anak jati Negeri Sembilan ini berjaya bertahan mengharungi onak dan duri sebagai anak seni lebih 30 tahun. Bahkan, pada usia yang kini melewati angka 40-an, Ebby sebenarnya memiliki ramai peminat. Ebby atau nama sebenarnya Mohd Yunos Abdul Rahman berkata, niatnya benar-benar ikhlas menceburi bidang seni kerana minat. Jadi tidak sedikit pun pernah terlintas di fikiran betapa dia mampu mempunyai kelompok peminat tersendiri. EBBY tidak menyangka bakat seninya diterima baik peminat. “Saya akui hanya bergantung sepenuhnya pada bakat seni yang dianugerahkan Tuhan untuk terus bertahan dalam industri hiburan tanah air. Ia bukan perkara mudah untuk saya berada pada tahap sekarang. “Apapun, saya tidak pernah kesal memilih jalan hidup untuk aktif sebagai anak seni dan menghiburkan ma­syarakat de­ngan lakonan serta lawak jenaka dipersembahkan. Oleh itu, saya memang tak duga mampu mempunyai peminat. “Maklum sajalah, saya ini jenis sedar diri. Namun, saya tetap yakin jika ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan yang menjadi sumber rezeki, semestinya Tuhan memberkati dan membantu hamba-Nya yang bersyukur,” katanya. Menurut Ebby lagi, apa yang membuatkan dia tidak menduga dirinya diminati kerana selama bergiat aktif sebagai penggiat seni, belum pernah Ebby dikaitkan dengan kisah sensasi atau berbaur kontroversi. “Syukur saya dilindungi Tuhan daripada terbabit dengan cerita kurang baik. Jadi macam manalah saya tidak terkejut apabila mendapati diri sebenarnya ada peminat. Hing­ga kini, saya memang tak pernah dihambat gosip. “Bukan itu saja, saya juga kurang menjayakan sesi fotografi sama ada di akhbar mahu pun majalah kerana sibuk dengan aktiviti seni. Tidak berniat pun untuk mengelakkan diri daripada publisiti tetapi jadual saya padat. “Alhamdulillah, rezeki saya dipermudahkan Tuhan dengan pelbagai tawaran berlakon atau rakaman program televisyen. Apatah lagi, saya juga bukanlah terlalu cerewet memilih kerana tawaran diterima jika sesuai,” katanya. Ebby yang baru selesai membintangi sitkom Yem Rempit juga terbabit dalam program komedi popular di Astro Warna (saluran 132), Karoot Komedia X. Bergandingan bersama Jep Sepahtu, Nabil dan Yus Jambu, jenakanya menghiburkan. Turut dikenali menerusi lakonan mantap dalam drama Masak Lomak Cili Api di RTM, Ebby berkata, bagi mencapai impian menjadi penghibur berjaya, usaha gigih perlu dilakukan. Ditambah lagi jangan cepat berputus asa.
|
ADVERTISEMENT
Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet
28-3-2024 11:46 PM GMT+8 , Processed in 0.171015 second(s), 46 queries .
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.