Edited by rohayatimat at 21-8-2018 05:01 PM
Menyediakan makanan halal yang ringkas dan mudah adalah satu keperluan apabila melancong ke luar negara bagi yang beragama Islam. Ianya bukan perkara yang sukar seandainya kita telah membuat persediaan yang lebih awal sebelum berangkat.
Kebanyakan negara-negara yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam makanan mentah seperti ayam dan daging yang dijual di pasar raya adalah tidak halal.
Kalau ada pun agak sukar bagi kita untuk mengenali jenama-jenama yang mendapat kelulusan halal kerana sesetengah pasar raya tidak menyediakan rak khas yang bertanda halal.
Ketika melancong di New Zealand selama lebih tiga minggu baru-baru ini, kami dapati tidak semua pasar raya menyediakan rak khas halal walaupun berkunjung ke pasar raya yang sama di lokasi yang berbeza.
Contohnya Pasar Raya Park N’ Save di Mt. Albert, Auckland, ada menyediakan rak halal sedangkan di Taupo tidak pula menyediakannya dan begitu juga di bahagian selatan walaupun di pasar raya yang sama.
Oleh itu, cara yang paling mudah ialah dengan mengenal pasti jenama yang mendapat pengiktirafan halal daripada New Zealand Islamic Development Trust (NZIDT).
Antara jenama yang kami guna ialah TEGEL yang mengeluarkan ayam proses mentah dan pelbagai produk berasaskan ayam. Selain itu ianya juga turut menjual ayam panggang yang telah sedia untuk dimakan. Jenama ini agak senang dibeli di semua pasar raya seluruh New Zealand.
Selain itu, jenama BRINKS juga merupakan satu lagi syarikat yang mengeluarkan ayam proses halal tetapi ianya hanya boleh diperolehi di sekitar Auckland sahaja. Anda juga boleh merujuk naskah yang dikeluarkan oleh Pelancongan New Zealand tentang panduan halal: http://production-editors.newzealand.com/travel/library/z76702_1.pdf
Kesimpulannya mengguna makanan dan barangan halal amat penting dalam kehidupan kita seharian. Mencari yang halal itu merupakan satu kewajipan bagi kita semua walaupun dalam menyediakan makanan ringkas semasa berada di luar negara.
|