Edited by maklukpenggoda at 20-11-2024 05:33 AM
KUALA LUMPUR - Hakim Mahkamah Tinggi, Leong Wai Hong menarik diri daripada mendengar kes saman terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pembelian barangan mewah bernilai lebih AS$346 juta, yang didakwa diperoleh daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Wai Hong membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Rosmah supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes saman berkenaan.
"Selepas mempertimbangkan permohonan ini, saya bersetuju menarik diri daripada mendengar kes ini berdasarkan prinsip bahawa keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, tetapi mesti dilihat dilaksanakan. Berdasarkan premis ini, saya membenarkan permohonan ini dan kes akan didengar di hadapan seorang hakim Mahkamah Tinggi yang lain," katanya semasa menyampaikan keputusan hari ini melalui aplikasi Zoom.
Hakim itu berkata, dalam afidavit sokongan Rosmah, isteri bekas Perdana Menteri itu menyatakan beliau (Wai Hong) adalah rakan kongsi dan ketua litigasi dan timbang tara di firma guaman Tetuan Skrine dari 2011 hingga 2021.
Beliau berkata, Rosmah dalam afidavit sokongannya juga menyatakan bahawa pada masa berkenaan, Tetuan Skrine, yang mewakili plaintif (1MDB) dalam kes ini, mempunyai hubungan dengan saman itu termasuk siasatan ke atas 1MDB dan suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang ketika itu adalah Perdana Menteri.
Pada 9 September, Hakim Mahkamah Tinggi Adlin Abdul Majid menolak permohonan Rosmah supaya hakim menarik diri, dengan menyatakan isteri bekas Perdana Menteri itu gagal membuktikan sebarang bahaya nyata risiko berat sebelah sekiranya beliau terus mendengar kes saman sivil berkenaan.
Hakim Adlin kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi (Bahagian Harta Intelek) dan Hakim Wai Hong mengambil alih kes itu.
Pada 9 Mei, 1MDB dan 10 syarikat lain memfailkan saman terhadap Rosmah berhubung pembelian barangan mewah bernilai lebih AS$346 juta, yang didakwa diperoleh melalui penyelewengan dana 1MDB.
Sinar Harian
|